
Menurut laporan The Hollywood Report (THR), nama DiCaprio digugurkan secara tiba-tiba daripada menjadi tuan rumah majlis kutipan derma calon presiden Demokratik, Clinton.
Acara pungutan derma dengan nilai AS$33,400 bagi seorang tetamu itu sebahagian daripada siri kutipan dana bagi Ogos untuk Clinton di Los Angeles, kini diadakan di kawasan berhampiran kediaman Justin Timberlake dan Jessica Biel.
Pada Sabtu lalu, sumber yang enggan dikenali mendedahkan DiCaprio menarik diri daripada kempen itu atas faktor jadual kerja.
“Dia sedang mengusahakan sebuah projek dokumentari, The Turning Point untuk dibawa ke Festival Filem Antarabangsa Toronto pada bulan depan. Dia akan berada di New York sehingga Rabu,” kata sumber.
Bulan lalu, Jabatan Kehakiman (DoJ) AS memfailkan laporan penyitaan aset di mahkamah persekutuan berkaitan dana kekayaan Malaysia, 1MDB.
Dana itu didakwa digunakan untuk membantu Red Granite Pictures, syarikat produksi bagi filem lakonan DiCaprio, The Wolf of Wall Street.
Bagaimanapun nama DiCaprio hanya disebut sebagai “Pelakon Hollywood 1” dalam laporan itu, mengaitkan pelakon itu sebagai mungkin mendapat manfaat “hadiah” daripada Red Granite, yang dimiliki Riza Aziz iaitu anak tiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan ‘tokoh utama’ 1MDB yang dinamakan sebagai Jho Low.
Terdahulu, yayasan kebajikan Hillary dan Bill Clinton diawasi secara rapat sepanjang kempen, terutama hubungannya dengan wang asing.
Bagaimanapun The Clinton Foundation menegaskan ia tidak akan menerima sumbangan pihak luar jika Hillary dipilih sebagai presiden.
Wakil DiCaprio, Shawn Sachs kekal dengan alasan masalah penjadualan sebagai punca pelakon itu undur diri daripada menjadi tuan rumah.
Manakala, jurucakap kempen Clinton, Josh Schwerin menolak hubungan skandal 1MDB yang dikaitkan dengan DiCaprio sebagai punca pembatalan dalam kempen itu.
“Ia tidak benar sama sekali. Kami amat berbesar hati jika boleh mengadakan majlis itu di rumahnya. Dia seorang yang pemurah dan sanggup mencarikan kami tuan rumah baharu. Kami berharap untuk bekerjasama dengannya pada masa akan datang,” katanya.
Pautan: