
Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata, Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee, 33, ditahan kira-kira jam 3.30 petang bagi membantu siasatan kes berkenaan.
“Lelaki itu ditahan di KLIA dan akan dibawa ke Pulau Pinang bagi membantu siasatan kes berkenaan. Dia akan direman pagi esok,” katanya hari ini.
Klip video memaparkan rakaman empat lelaki yang menyanyikan lagu dalam bahasa Mandarin berdurasi 4.05 minit itu menjadi viral dan menimbulkan kemarahan orang ramai kerana ia dipercayai menghina Islam.
Ekoran itu, pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis kerana tidak puas hati dengan klip video itu.