Di Bukit Jelutong, golf dan surau bertemu untuk pungut dana

Di Bukit Jelutong, golf dan surau bertemu untuk pungut dana

Golf bukan aktiviti yang biasa dianjurkan surau, tetapi itulah keunikan sebuah surau di Shah Alam yang mahu berdikari.

surau214pengurus_600
SHAH ALAM:
Kita sering dengar pelbagai aktiviti anjuran surau dan masjid, tetapi mungkin tidak ramai yang tahu kelainan jawatankuasa sebuah surau di Bukit Jelutong, yang menganjurkan pertandingan golf amal.

Surau yang terletak di kawasan perumahan ini sebenarnya sudah lama menganjurkan aktiviti itu bagi memungut dana.

Pengerusinya, Amir Din, 61, berkata pihaknya tidak memperoleh dana daripada mana-mana pihak, lalu menganjurkan program kutipan amal.

Kali ini merupakan tahun ke-14 program seperti itu dijalankan.

“Duit derma dipungut untuk perbelanjaan sehingga tahun depan, termasuk untuk bayar gaji imam, siak dan kos lain,” katanya ditemui FMT di surau berkenaan semalam.

“Itu cara kita cari duit. Dua cara sahaja surau cari duit, satu golf amal klasik, lagi satu bulan puasa orang infaq Ramadan,” kata Amir.

Pertandingan golf amal anjuran surau itu mendapat sambutan menggalakkan penduduk Bukit Jelutong setiap tahun, dengan penyertaan lebih 120 orang.

Program tahun ini dianjurkan 1 September depan di Kota Permai Golf and Country Club, dengan caj RM370 dikenakan setiap peserta.

Amir berkata di samping menderma untuk surau, peserta juga berpeluang memenangi hadiah lumayan sekiranya memenangi pertandingan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.