
Katanya, filem itu cuba mendewa-dewakan watak seorang samseng kononnya dia seorang dermawan yang tidak terlibat dadah dan pelacuran.
“Namun apa yang membimbangkan ialah Kabali asyik membunuh di dalam filem itu dan mesej yang ingin disampaikan seolah-olah kegiatan jenayah tidak ada salahnya asalkan seseorang itu bersifat dermawan,” kata Presiden CAP, S. M. Mohamed Idris, dalam kenyataannya.
Beliau menyenaraikan empat aksi ganas yang tidak dipotong LPF, termasuk teman Kabali dipotong tangannya oleh kumpulan samseng sebelum tangan itu dihantar dalam sebuah kotak dan Kabali menusuk pisau ke kerongkong konco Tony.
“Bagaimanakah ibu bapa hendak memantau anak mereka sedangkan orang dewasa sendiri leka dengan filem tersebut? Dalam ertikata lain, kanak-kanak boleh menontonnya sendiri tanpa pengawasan sekalipun dengan rating yang ada,” soal Idris.
Idris berkata keganasan media sudah terbukti memberi kesan terhadap kanak-kanak, seperti yang didedahkan Akademi Pediatrik Amerika dalam kajiannya pada Julai tahun ini.
Kajian itu, menurutnya, mendapati kanak-kanak dan remaja terdedah kepada unsur ganas dalam “diet media” mereka apabila mereka melayari aplikasi media sosial, bermain permainan video dan menonton filem yang menjadikan mereka agresif.
“Malaysia nampaknya melakukan sesuatu yang tidak wajar apabila membenarkan filem Tamil Kabali melakukan penggambaran dan ditayangkan di sini walaupun menerima sambutan hebat daripada penggemar aktor Ranjinikanth,” kata Idris, yang berkata adalah pelik filem Tamil itu dibenarkan di ketika kerajaan berusaha keras membanteras kegiatan samseng dan keganasan.
CAP berkata mesej yang dibawa Kabali adalah seseorang itu tidak bersalah sekiranya menjadi ahli kumpulan samseng, asalkan dermawan.
“Di sebalik tidak diterima oleh masyarakat, anda masih dihormati dan menjalani gaya hidup mewah. Bayangkan apabila Kabali dibebaskan dari penjara, kira-kira 3.5 minit tayangannya dihabiskan untuk menunjukkan ahli-ahli kumpulan meraikan kepulangannya dengan meriah,” kata Idris.
CAP menggesa filem memaparkan seks dan keganasan perlu diharamkan terus.
“Sejak sekian lama CAP telah berkali-kali menggesa agar pihak berkuasa menyingkirkan media yang hanya mencetuskan masalah sosial.”