
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, ia adalah dasar kerajaan untuk mengenakan cukai lebih rendah kepada syarikat penerbangan tambang rendah bagi menyokong sektor itu.
“Oleh itu, saya tidak nampak sebab kenapa MAS hendak mempersoalkan perkara itu ketika ini. Lainlah kalau MAS ingin mengendalikan penerbangan tambang rendah, maka bolehlah mereka menikmati cukai lapangan terbang yang rendah.
“Suatu masa dulu, MAS juga mengadakan penerbangan tambang rendah, jadi kami mengalu-alukan MAS mengendalikan syarikat penerbangan tambang rendah,” katanya selepas upacara pelancaran Perlindungan & Indemniti Malaysia Sdn Bhd (P&I Malaysia), insurans maritim yang diwujudkan atas inisiatif kerjaan bagi kapal kecil hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap gesaan berulang kali Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Peter Bellew supaya kerajaan menyeragamkan caj perkhidmatan penumpang di KLIA dan klia2.
Bellew dilaporkan berkata, MAS sedang mempertimbang memindahkan sebahagian penerbangannya dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) ke klia2, berikutan cukai lebih tinggi di KLIA yang menjejaskan keuntungan syarikat penerbangan itu.
Mengenai insurans maritim yang dilancarkan itu, Liow berkata, skim itu bukan sahaja memberi perlindungan diperlukan kapal kecil dengan berat kurang daripada 300 tan berdaftar kasar pada kadar premium berpatutan, tetapi akan menempatkan semula dan mengukuhkan lagi industri maritim tempatan untuk lebih berdaya saing di peringkat global.
Liow menganggarkan ketika ini terdapat kira-kira 10,000 kapal kecil yang tidak mempunyai liputan insurans.
P&I Malaysia yang diperbadankan pada Ogos 2015, menyediakan liabiliti marin bagi kapal kecil untuk liputan hingga had tunggal tergabung RM1.4 juta.
Skim ini meliputi liabiliti bagi kecederaan diri atau kehilangan nyawa untuk penumpang dan anak kapal, liabiliti anak kapal, kerosakan harta, pencemaran alam sekitar dan pengalihan bangkai kapal.