Yasin: Namewee bukan hina Islam, cuma ekspresif

Yasin: Namewee bukan hina Islam, cuma ekspresif

Secara peribadi Namewee seorang yang baik dan merendah diri tetapi mengakui penyanyi kontroversi itu agak ekspresif dan radikal dalam seninya.

yassin-muhammad-namawee

PETALING JAYA: Penyanyi nasyid Yasin Sulaiman hari ini mempertahankan penghibur kontroversi Namewee berhubung tuduhan menghina Islam.

“Dia cuma seorang banyak persoalan dalam diri dia. Dia cuba nak fahamkan apa dia buat, kerana dia seorang yang suka persoal semua benda. Itulah Namewee. Watak dia macam itu. Saya tak rasa dia hina pun. Saya jenis guna konsep sopan. Tetapi cara orang berbeza-beza,” kata Yasin yang pernah popular dengan lagu Mimpi Laila dan Salsabila.

“Saya tak rasa dia bermaksud untuk menghina Islam.”

Beliau mengulas kecaman terhadap Namewee, atau nama sebenarnya Wee Meng Chee, selepas klip video muzik terbaharunya mengundang tuduhan menghina Islam.

Klip lagu bertajuk “Oh My God” itu memaparkan empat lelaki mewakili agama utama di Malaysia, yang menyanyi dalam bahasa Mandarin berlatar belakangkan rumah ibadat.

Polis berkata akan menyiasat Namewee sekembalinya dari luar negara, susulan bebrapa laporan polis.

Yasin, yang pernah berduet dengan Namewee, berkata secara peribadinya beliau seorang “baik dan merendah diri”.

“Tetapi Namewee seorang yang ekspresif dan radikal.

“Di YouTube, dia ada personaliti yang radikal,” kata Yasin kepada FMT, dan menambah ia merupakan konsep yang cuba ditampilkan dalam muzik.

Namewee semalam menafikan beliau menghina Islam.

“Hentikan fitnah dan tuduhan anda dengan mengatakan saya menghina agama Islam,” katanya.

Namewee turut mengingatkan duetnya bersama Yasin dicalonkan untuk kategori Lirik Terbaik Anugerah Industri Muzik (AIM) 2016.

Yasin menggesa perbincangan rasional dalam menyelesaikan isu muzik Namewee, tetapi turut mengakui mungkin perlu melembutkan kaedahnya.

“Mungkin Namewee perlu lebih jaga sensitiviti selepas ini.”

Pautan:

Tuduhan saya hina Islam tidak berasas, kata Namewee

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.