Perjanjian Malaysia-Indonesia menguntungkan bank 2 negara

Perjanjian Malaysia-Indonesia menguntungkan bank 2 negara

Perjanjian antara pihak berkuasa kewangan Malaysia-Indonesia suatu kemajuan signifikan dalam rangka kerja bersama institusi perbankan kedua negara.

Free Malaysia Today
PETALING JAYA:
Pemeteraian perjanjian antara pihak berkuasa kewangan Malaysia dan Indonesia pada Isnin lalu akan mewujudkan saingan sihat dan memberi kebaikan kepada bank di kedua negara, kata pensyarah ekonomi Universiti Sunway, Dr Yeah Kim Leng.

“Bank Malaysia yang beroperasi di Indonesia ketika ini berdepan sekatan kawal selia (regulatory restriction) dalam operasi. Selepas ini, keadaan akan menjadi lebih anjal untuk mereka berkembang.

“Pada masa sama, bank-bank Indonesia yang masuk ke sini akan memberi cabaran kepada bank tempatan. Bank tempatan mungkin menerima kesan jangka panjang jika jutaan warga Indonesia di sini memilih menggunakan bank negara sendiri,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Ahli Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia itu menyifatkan langkah berkenaan suatu kemajuan signifikan dalam rangka kerja bersama institusi perbankan kedua-dua negara.

“Situasi timbal balik ini diperlukan untuk melangkah ke hadapan rangka kerja bersama.

“Ia adalah pertukaran (kedua-dua pihak menerima kelebihan dan persaingan). Namun secara keseluruhan, ia akan membawa kebaikan kepada kedua-dua pihak,” kata bekas ketua ekonomi kumpulan RAM Holdings Berhad itu.

Isnin lalu, pihak berkuasa kewangan Indonesia, Otoritas Jasa Keuangan (OJK) dan Bank Negara Malaysia menandatangani perjanjian dua hala membenarkan tiga bank membuka cawangan di kedua-dua negara.

Dua bank Indonesia, iaitu Bank Mandiri milik kerajaan merancang membuka cawangan di Malaysia tidak lama lagi, sementara Bank Rakyat Indonesia berharap dapat bertapak di negara ini dalam masa terdekat.

Dua bank Malaysia, iaitu CIMB dan Maybank pula antara bank besar yang beroperasi di Indonesia, menurut laporan Nikkei Asian Review.

Menurut OJK, perjanjian itu sebahagian daripada pelaksanaan Kerangka Kerja Integrasi Perbankan Asean, di mana negara anggota serantau termasuk Indonesia dan Malaysia akan memberi akses lebih besar dan anjal kepada bank-bank tempatan.

Antara News Isnin lalu memetik Timbalan Pesuruhjaya Pengawas Perbankan OJK, Mulya Siregar sebagai berkata, bank Indonesia yang dibenarkan membuka cawangan di Malaysia perlu memiliki modal kukuh, mengamalkan tatakelola yang baik dan aset dikuasai peserta domestik.

“Perbankan Indonesia akan dilayan setara seperti bank tempatan, bukan lagi bank asing,” kata Mulya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.