
Dia akan beri kerjasama kepada polis, dan menambah video yang kini tersebar di media sosial sebenarnya dicuri sebelum sempat disunting dan dimuatnaik oleh penggodam.
Menggayakan sepasang cermin mata gelap warna hijau dan topi muffler, Namewee, atau nama sebenarnya Wee Meng Chee menceritakan cerita pihaknya pula menjelaskan kontroversi yang berbangkit, dalam satu klip video tujuh minit bertajuk ‘Pengganas’ di laman Youtube miliknya semalam.
Video itu dirakam di masjid, kuil Buddha, Hindu dan Tao, serta gereja Katolik, dan menurut Namewee pihaknya dibenarkan merakam di lokasi-lokasi pelancongan itu oleh pengurus rumah ibadat terbabit, walaupun bukan secara bertulis.
Menurut polis, pengerusi Masjid Terapung Tanjung Bungah membuat laporan polis pada 27 Julai lalu mendakwa penari dalam video berkenaan berkelakuan tidak senonoh di dalam masjid.
Namewee menjelaskan penghibur terbabit tidak riuh, mengikut semua peraturan yang ditetapkan, dilihat bermain kad Uno dan Poker tetapi sebenarnya tidak berjudi, meminum air tanpa alkohol dan memegang senjata mainan.
“Semua benda yang kamu nampak dalam video muzik itu adalah untuk lawak sahaja, macam komedilah relax lah bro,” kata Namewee.
Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid memberitahu sidang media 29 Julai lalu bahawa kejadian ini disiasat dibawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan, yang melibatkan kesalahan membinasakan, merosakkan atau mencemarkan rumah ibadat.
Polis dilaporkan akan menahan Namewee sebaik dia pulang dari luar negara.
“Akhir sekali, saya akan bekerjasama dengan pihak polis Pulau Pinang, untuk siasatan. Saya harap kamu akan hormat dengan lagu saya ini yang menghantar mesej harmoni. One world, one peace.”