Gaji naik RM900: Pekerja Malaysia pertimbang hijrah ke Singapura

Gaji naik RM900: Pekerja Malaysia pertimbang hijrah ke Singapura

Ada di kalangan profesional Malaysia sedang mempertimbangkan untuk berhijrah ke Singapura kerana gaji di negara itu dijangka melonjak sekurang-kurangnya RM900, tambahan pula kejatuhan nilai ringgit.

gaji
PETALING JAYA:
Pekerja profesional Malaysia mungkin berduyun-duyun ke Singapura susulan keputusan negara itu menaikkan gaji mulai tahun depan, lapor The Star hari ini.

Beberapa pekerja profesional tempatan memberitahu akhbar itu, mereka sedang mempertimbangkan langkah itu kerana gaji profesional di republik itu dijangka melonjak sekurang-kurangnya RM900, tambahan pula kejatuhan nilai ringgit.

Akauntan berusia 30 tahun, Amir Abdullah yang mendapat kira-kira RM5,000 sebulan sedang mempertimbangkan langkah itu, selepas mendapat tawaran kerja daripada sebuah syarikat di Singapura.

Jurutera minyak dan gas berusia 32 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Tan berkata, kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar Singapura adalah punca utama rakyat Malaysia memilih bekerja di negara jiran itu.

Beliau yang sudah lima tahun bekerja di Singapura berkata, untuk mengekalkan pekerjaan di sana, rakyat Malaysia perlu mempunyai ijazah atau diploma dari universiti terkenal, serta memenuhi syarat untuk memohon pas pekerjaan Singapura (EP).

Ramai pemegang EP adalah pegawai bank, akauntan, jurutera, doktor dan peguam.

Mulai Januari tahun depan, pekerja profesional boleh mendapat sekurang-kurangnya SGD3,600 (RM10,780) berbanding SGD3,300 (RM9,880) ketika ini, menurut laporan itu.

Bagaimanapun, penasihat Perusahaan Kecil dan Sederhana Selatan Johor, Teh Kee Sin menyeru rakyat Malaysia kembali ke tanah air untuk menyumbang kepada pembangunan Iskandar Malaysia.

Beliau turut meminta golongan profesional yang mahu bekerja di Singapura supaya mempertimbangkan kos dan masa yang perlu dihabiskan untuk berulang-alik ke tempat kerja, selain sewa bilik atau rumah yang mahal di negara jiran itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.