Umno Terengganu serah kepada lembaga disiplin hukum Mat Said

Umno Terengganu serah kepada lembaga disiplin hukum Mat Said

Ahmad Razif berkata, tindakan akan dikenakan kepada mereka yang melanggar disiplin Umno tanpa mengira status dan jawatan beliau dalam parti itu.

Menteri Besar Ahmad Said
KUALA TERENGGANU: Badan Perhubungan Umno Terengganu menyerahkan kepada Lembaga Disiplin parti untuk mengambil tindakan terhadap Adun Kijal, Datuk Seri Ahmad Said yang didapati lantang mengkritik kepimpinan Umno negeri sejak akhir-akhir ini.

Pengerusinya, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, ia bagi memastikan setiap anggota parti yang didapati melanggar disiplin dikenakan tindakan tanpa mengira status dan jawatan beliau dalam parti.

“Kita akan ambil tindakan berasaskan disiplin parti, kalau sesiapa bersalah kita akan ambil tindakan, kalau kata saya sendiri bersalah perlu diambil tindakan.

“Kalau dipecat, itu terpulang kepada Lembaga Disiplin Umno, kalau dia bersalah, bersalahlah. Kita di peringkat Badan Perhubungan (Umno Negeri) akan menghantar laporan ke peringkat tertinggi untuk diambil tindakan.

“Ini adalah asas yang perlu didokong parti yang mempunyai prinsip (seperti Umno),” katanya selepas menghadiri majlis sambutan Hari Raya Terengganu Inc hari ini.

Ahmad Razif mengulas desakan beliau kepada Majlis Tertinggi Umno supaya memecat Ahmad berikutan tindakannya itu.

Ahmad Razif yang juga Menteri Besar Terengganu dalam pada itu berkata, Badan Perhubungan Umno pernah membuat laporan kepada Lembaga Disiplin parti terhadap beberapa individu yang didapati berpaling tadah pada pilihan raya lalu dan juga pihak yang cuba menggugat kestabilan politik negeri ini.

“Ini tugas saya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, jika kita tidak berani ambil tindakan ia akan jadi berat sebelah dan ini akan menyebabkan kepercayaan anggota Umno yang lain tergugat, yang ini kita perlu perkasakan,” katanya.

Ditanya jika tindakan itu akan menggugat sokongan anggota parti terhadap beliau, Ahmad Razif berkata, beliau tidak mempunyai masalah dengan situasi itu kerana apa yang penting ialah memastikan disiplin dan peraturan parti dilaksanakan dengan sebaiknya.

“Kalau kita (parti) berani ambil tindakan terhadap bekas timbalan presiden dan naib presiden parti, itu bagi saya adalah satu kekuatan dan ini menunjukkan Umno kini semakin kuat sebenarnya,” katanya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.