
Wan Saiful Wan Jan mempertikaikan mengapa Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu menyasarkan Selangor sahaja.
“Sebab kalau penyelenggaran tak cukup saya rasa di Perlis pun tak cukup, di Kedah pun tak cukup, di Kelantan pun tak cukup, bukannya di Selangor sahaja tak cukup,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.
Semalam, menteri dilaporkan mencadang untuk mewajibkan PIBG di semua sekolah di Selangor menjalan aktiviti pungut derma bagi menampung kos penyelenggaraan sekolah disebabkan dana kerajaan Persekutuan tidak mencukupi.
Hasil pemeriksaan FMT mendapati, sebanyak RM500 juta diperuntukkan dalam Belanjawan 2016 untuk membangun dan menyelenggara kemudahan pendidikan di sekolah-sekolah seluruh negara.
“Untuk membantu menyelesaikan masalah ini saya rasa apa yang perlu dibuat ialah pengetua atau guru besar sekolah diberikan lebih banyak autonomi mentadbir sendiri kedudukan kewangan sekolah,” cadangnya.
Beliau menjelaskan melalui cara ini, pihak sekolah boleh memastikan jumlah kewangan yang lebih dekat dengan perbelanjaan dan keutamaan sekolah.