
Ketua Penolong Pengarah Counter Terrorism, Cawangan Khas (E8) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay yang dipetik China Press mengesahkan surat tertera nama IS itu diterima pihak polis semalam.
Surat berkenaan diserahkan kepada unit forensik untuk siasatan lanjut dan polis giat mengenal pasti motif serta identiti pengirim surat itu.
Ayob turut mendedahkan, pihak polis pernah menerima surat ugutan seperti itu kira-kira dua bulan lalu, namun beliau tidak memberikan butiran lanjut.
Difahamkan, surat ugutan yang diterima semalam sepanjang dua muka surat, di mana muka surat pertama tertera surat itu ditujukan kepada Ketua Polis Daerah Nilai dan gambar sembilan individu, termasuk perdana menteri, timbalan perdana menteri, ketua polis negara, peguam negara serta Aung San Suu Kyi yang diakhiri perkataan “menunggu surat rasmi”.
Muka surat kedua pula dinyatakan terdapat 212 ahli dan enam pakar di Negeri Sembilan, Kuala Pilah mempunyai 316 ahli dan empat pakar, Nilai ada 114 ahli dan lapan pakar, Port Dickson terdapat 97 ahli dan dua pakar.
Pengirim dipercayai cuba menunjukkan pengaruh kumpulan itu di Negeri Sembilan kepada pihak polis menerusi kandungan muka surat kedua itu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pada 24 Jun lalu mencabar rakyat Malaysia yang menyertai IS supaya pulang ke tanah air, bukannya membuat ugutan dari jauh kerana polis tidak gentar dengan ancaman kumpulan itu.
Ia susulan rakaman video propaganda memaparkan lelaki dikenal pasti sebagai Mohd Rafi Udin dari Negeri Sembilan dan dipercayai berpangkalan di Syria, bertindak mengeluarkan ancaman kepada pasukan keselamatan negara, pada 21 Jun lalu.
Beberapa hari kemudian, negara dikejutkan dengan serangan bom tangan di sebuah pusat hiburan di Puchong yang menyebabkan lapan pengunjung cedera dan polis mengesahkan letupan bom pada awal pagi 28 Jun lalu itu adalah serangan pertama IS di negara ini.