Selangor akur penggunaan Pota, Poca cegah keganasan

Selangor akur penggunaan Pota, Poca cegah keganasan

Jabatan Mufti Selangor sudah mengeluarkan fatwa untuk mengharamkan gerakan militan IS pada Februari lepas.

Datuk-Dr-Ahmad-Yunus-Hairi
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akur bahawa penggunaan Akta Undang-Undang Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) dan Akta Pencegahan Jenayah 2013 (POCA) adalah langkah terbaik untuk mencegah elemen keganasan di negara ini.

Malah, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata dalam konteks kerajaan negeri, Jabatan Mufti Selangor sudah mengeluarkan fatwa untuk mengharamkan gerakan militan IS pada Februari lepas.

“Gerakan militan seperti ini adalah jelas menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar menurut pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, hari ini.

Sulaiman ingin tahu langkah dilakukan kerajaan negeri untuk mencegah penyebaran eleman pengganas dalam kalangan rakyat di Selangor dan sama ada kerajaan negeri bersetuju dengan penggunaan POTA dan POCA bagi mencegah elemen itu.

Mengulas lanjut, Dr Ahmad Yunus yang juga ADUN PAS kawasan Sijangkang berkata, kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Fatwa telah melaksanakan pelbagai program, seperti sesi penerangan dan turun padang di surau, masjid dan sekolah.

“Khutbah Jumaat yang menyentuh isu IS turut diberikan di masjid dan surau, termasuk siaran akhbar mengenainya di akhbar Berita Harian, Utusan Malaysia dan Sinar Harian, selain portal berita,” katanya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.