Konflik Sunni-Syiah membarah akibat manipulasi diktator

Konflik Sunni-Syiah membarah akibat manipulasi diktator

Dr Nader Hashemi berkata perbezaan dua aliran terbesar Islam itu dimanipulasikan rejim pemerintah yang bersifat autoritarian demi kepentingan dan kuasa mereka.

sunni-syiah
SUBANG JAYA:
Hubungan Sunni-Syiah di Timur Tengah tidak akan separah hari ini jika tidak dimanipulasi pemimpin di sana yang mahu mencetuskan perpecahan demi mengekalkan kuasa, kata ahli akademik Dr Nader Hashemi.

Dalam syarahannya di Universiti Sunway hari ini, Pengarah Pusat Kajian Timur Tengah di Universiti Denver itu berkata perseteruan Sunni-Syiah di Timur Tengah yang parah sehingga membawa kepada pembunuhan adalah perkembangan baru.

“Konflik Sunni-Syiah berlaku secara relatifnya mutakhir ini. Tidak ada konflik yang benar-benar besar sebelum ini.

“Malah 10 tahun lalu, pemimpin paling popular di Tanah Arab ialah (Setiausaha Agung Hezbullah) Hassan Nasrallah, seorang Syiah. Ketika itu, identiti bersama umat Islam di sana perjuangan rakyat Palestin,” katanya merujuk kepada perang Hezbollah-Israel yang berlangsung antara Julai dan Ogos 2006.

Bagaimanapun katanya, perbezaan antara dua aliran terbesar Islam itu dimanipulasikan oleh rejim pemerintah di sana yang bersifat autoritarian demi kepentingan dan kuasa mereka.

“Mobilisasi berteraskan politik-etnik ini berlaku sepanjang sejarah, dan kini ia terjadi di Timur Tengah,” katanya.

Bercakap dalam konteks Malaysia, Nader berkata beliau tidak melihat kemungkinan berlakunya perkara sama di rantau Asia Tenggara, terutama di negara ini dan Indonesia kerana jumlah penganut Syiah yang terlampau sedikit.

Bertentangan dengan pandangan itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap dalam Perhimpunan Agung Umno 2013 pernah antara lain menyebut soal “penyebaran ajaran sesat dan Syiah yang perlu diperangi habis-habisan”.

Malah beliau juga berkata Kementerian Dalam Negeri memberi kuasa kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom untuk mengambil tindakan kepada timbalan presiden PAS pada masa itu, Mohamad Sabu yang menurutnya menganut mazhab berkenaan.

Di Malaysia, Syiah dikategorikan sebagai ‘ajaran sesat’ dan pihak berkuasa pernah beberapa kali menyerbu acara yang dianjurkan penganut mazhab itu.

Nader berkunjung ke Malaysia bagi mempromosikan buku terbarunya bertajuk Islam, Sekularisme dan Demokrasi Liberal: Membentuk Teori Demokrasi Untuk Masyarakat Muslim.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.