Majlis Perbandaran Sibu lantik timbalan pengerusi Bumiputera pertama

Majlis Perbandaran Sibu lantik timbalan pengerusi Bumiputera pertama

Kemampuan Rogayah yang pernah menerajui sebuah bank di bandar ini diyakini untuk melaksanakan tugas sebagai timbalan pengerusi SMC.

Majlis Perbandaran Sibu
SIBU:
Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (SMC) yang baharu Rogayah Jamain, Bumiputera pertama memegang jawatan itu sejak ia ditubuhkan kira-kira 35 tahun lalu, akan mengangkat sumpah minggu depan.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Penyelidikan Sains dan Bioteknologi) Dr Annuar Rapaee berkata kerajaan negeri mengeluarkan surat tawaran lantikan ke jawatan itu kepada Rogayah baru-baru ini.

“Saya amat berterima kasih kepada Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem kerana memberi peluang kepada Bumiputera dan ia merupakan penghargaan kepada masyarakat Bumiputera di bandar Sibu atas kesetiaan mereka kepada kerajaan selama ini,” katanya.

Annuar yang juga Adun Nangka berkata demikian kepada pemberita semasa menghadiri majlis ramah tamah Ketua-Ketua Masyarakat Melayu/Melanau Bahagian Sibu di sini malam tadi.

Beliau juga yakin dengan kemampuan Rogayah yang pernah menerajui sebuah bank di bandar ini untuk melaksanakan tugas sebagai timbalan pengerusi SMC, sekali gus menunjukkan jawatan itu tidak semestinya dipegang mereka daripada kalangan ahli parti politik saja.

Turut mengangkat sumpah bagi jawatan ahli majlis minggu depan ialah tujuh wakil daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.