FGV kabur tentang hasrat syarikat lain bekerjasama

FGV kabur tentang hasrat syarikat lain bekerjasama

Kewujudan minat, membuktikan bahawa FGV adalah syarikat bertaraf dunia dan memiliki prospek yang positif.

fgv,eagle
KUALA LUMPUR:
Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) menjelaskan yang ia tidak mengetahui mengenai sebarang hasrat atau potensi kerjasama dengan pihak Tradewinds Group atau syarikat-syarikat lain.

“(Jika ada) sebarang minat, ia hanya membuktikan bahawa FGV adalah syarikat bertaraf dunia dan memiliki prospek yang positif,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kumpulan perladangan itu mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris bahawa FGV kini menjadi sasaran dan minat kalangan syarikat yang berhasrat menjalin usaha korporat dengannya.

Menurut laporan itu, usaha berkenaan berkemungkinan membabitkan syarikat pelaburan strategik yang ada kaitan dengan Tradewinds Group yang menimbang untuk membeli kepentingan dalam FGV.

“Kami akan terus menumpukan usaha untuk memaksimumkan kemampuan dalaman dan memastikan pertumbuhan menguntungkan menerusi inisiatif seperti mengurangkan kos pengeluaran dan operasi,” kata FGV.

FGV turut menegaskan yang ia komited untuk memanfaatkan asetnya, mengoptimumkan pelaburan sedia ada serta mengurangkan kesukaran yang timbul dalam pelaksanaan proses berkenaan.

“Matlamatnya adalah untuk memaksimumkan hasil daripada pelaburan sebelum ini dan meningkatkan keuntungan menjelang akhir 2016,” katanya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.