Najib yang juga presiden Umno berkata laporan yang dibuat Khairul itu tidak mewakili parti dan setiap individu di negara ini berhak berbuat demikian.
“Dia tindakan individu, semua orang ada hak, kalau dia fikir dia ada maklumat dan ada sesuatu yang perlu disiasat polis, dia ada hak,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Menara Datuk Onn hari ini.
Najib berkata beliau tidak boleh memaksa Khairul untuk tidak membuat laporan polis terhadap tiga individu berpangkat Tan Sri berkenaan.
“Tindakan dibuat atas nama seorang pemimpin, mungkin dia ada maklumat tertentu dan terserah kepada polis untuk menyiasat dan menentukan sama ada laporannya ada asas atau tidak,” katanya.
Terdahulu Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis sudah mengambil keterangan daripada Khairul di Bukit Aman, hari ini.
Pada Selasa, Khairul membuat laporan polis terhadap bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail, bekas gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Tan Sri Abu Kassim Mohamed.
Dalam laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi itu Khairul mendakwa ketiga-tiga mereka dipercayai terbabit dalam konspirasi menggulingkan Najib dan kerajaan Malaysia.