Sambil mengucapkan tahniah kepada Dzulkifli atas perlantikan beliau, Ketua Eksekutif Ideas Wan Saiful Wan Jan menjelaskan Dzulkifli bermula dari kedudukan yang sukar, iaitu tanpa kepercayaan orang ramai.
Dzulkifli akan menggalas tugas sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM menggantikan Tan Sri Abu Kassim Mohamed, yang akan meninggalkan suruhanjaya anti-rasuah dua tahun lebih awal daripada kontraknya tamat.
“Keadaan agak mencabar buat beliau. Saya berharap Dzulkifli akan mampu mendapatkan kepercayaan daripada mereka yang prihatin dengan keadaan SPRM,” kata Wan Saiful.
Beliau turut mengambil maklum pemimpin SPRM baharu itu pernah mengetuai Pasukan Penguatkuasaan Pemulihan Hasil Negara (NRRET) di Jabatan Peguam Negara (AGC) dan menambah, “Beliau berpengalaman mendapatkan kembali aset yang dicuri”.
“Saya yakin beliau akan berdiri teguh dalam SPRM, tanpa gentar atau pilih kasih, walaupun mengharungi saat yang paling mencabar. Keteguhan cara terbaik untuk membuat rakyat percaya padanya.”
Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Bendera Pinang Zairil Khir Johari mengambil maklum Dzulkifli mengepalai sebuah suruhanjaya anti rasuah yang dibadai cabaran yang sengit, dikala saman Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) terhadap individu-individu yang didakwa melesapkan lebih AS$3.5 bilion (RM14.12 bilion) wang 1MDB.
“Latar belakangnya yang pernah mengetuai NRRET sangat bernilai, memandangkan kemahiran itu diperlukan untuk membongkar skandal 1MDB.
“Susulan pendedahan DoJ ini, rakyat mahu tahu samada Dzulkifli akan buka fail kes 1MDB semula atau tidak,” katanya ketika dihubungi FMT.
Namun sekiranya beliau gagal menyiasat 1MDB atau enggan bertindak, maka perlantikannya akan dipertikaikan, tambahnya, “Rakyat akan persoal apakah beliau dilantik untuk menutup keburukan skandal kewangan terbesar itu.”
Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar pula ambil maklum kehadiran Dzulkifli di sidang media yang diadakah Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali awal tahun ini yang membersihkan Najib dari semua dakwaan salahlaku dalam skandal 1MDB.
Beliau mengesali tragedi yang menimpa SPRM apabila “orang-orang yang berani dan berprinsip dihina dan digantikan oleh para pengampu”.
“Kita tidak punya cukup masa untuk menyelamatkan perbendaharaan Malaysia ketika dunia mengarak kerajaan kita yang korup, dan kita masih terperangkap dalam permainan golongan elit yang memerintah negara.
“Kalau begini keadaannya, pemindahan demi pemindahan tidak akan mampu menyingkirkan pencemaran korupsi akibat skandal 1MDB sehingga pelaku diheret ke muka pengadilan,” tegas Izzah.