Timbalan Pengerusi GKCM itu mendakwa kebanyakan ahli Umno tidak dapat lagi menahan kekecewaan terhadap Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak, dan ia diburukkan lagi dengan saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat minggu lalu.
“Kami memang sedang bergerak, dan yakin majoriti ahli Umno di akar umbi akan menyertai parti baharu nanti. Selepas itu, pemimpin peringkat tinggi parti juga pasti akan menyusul.
“Di kawasan saya – Teluk Kemang – 23 cawangan sudah bersedia dan akan ditubuhkan sebaik sahaja parti baru diisytiharkan,” kata bekas Ketua Cawangan Umno Taman Datuk Haji Abdul Samad itu kepada FMT.
Beliau antara lapan Ketua Cawangan Umno di Teluk Kemang yang digantung keahlian selama enam tahun pada 2 Disember lalu, selepas membuat sidang media mendesak Najib meletakkan jawatan sebagai presiden parti.
Katanya lagi, penubuhan parti baharu tersebut kini dalam proses terakhir dan akan diumumkan “dalam masa terdekat”.
“Semalam pun kami mesyuarat dengan pihak penajaan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan juga Tun Mahathir. Kini dalam proses menetapkan hal-hal seperti perlembagaan, bendera dan seumpamanya,” katanya.
“Jadi tak mengapalah kena gantung enam tahun, ada parti baharu nanti,” katanya lagi.
Pada 14 Julai lalu, Mahathir mengumumkan penubuhan parti baharu yang dipercayai akan dianggotai bekas tokoh politik Umno, dan akan menyertai pembangkang menentang BN pada Pilihan Raya Umum akan datang.
