Ini kerana cadangan penanaman ketum secara meluas seolah membuka ruang luas kepada penyalahgunaan dadah, menurut Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Pegawai Perhubungan Awam AADK Salehuddin Klewan berpendapat sekiranya kerajaan meluluskan cadangan menjadikan ketum tanaman kontan yang dibenarkan undang-undang dan dibolehkan eksport ke luar negara, dikhuatiri penanaman cannabis (ganja) akan berleluasa – tumbuhan yang juga mempunyai permintaan tinggi, didakwa mempunyai manfaat perubatan dan disalahguna sebagai dadah.
“Kalau ketum boleh tanam secara sah, maka pokok ganja pun boleh la ikut serta,” sindirnya.
“Penggunaan daun ketum tidak seperti zaman dahulu. Jika dulu, zaman nenek moyang menggunakan daun sebagai minuman pemulih tenaga terutama wanita selepas bersalin dan buang angin.
“Bagaimanapun penggunaan daun ketum mula disalahgunakan. Ketagihan terhadap daun ketum yang mengandungi mitraginin membuatkan segelintir masyarakat secara ‘kreatif’ mencampurkan rebusan ini dengan ubat batuk,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata demikian mengulas cadangan Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) Datuk Zahidi Zainul Abidin Selasa lepas memohon kerajaan membenarkan pekebun kecil menanam ketum secara komersil sebagai sumber pendapatan tambahan.
Menurut Zahidi, ketum yang dikatakan mempunyai nilai perubatan boleh dieksport ke Amerika Syarikat dan Eropah kerana terdapat permintaan tinggi dari farmasi di sana.
“Dari suduh positif, cadangan Risda bagi memenuhi permintaan dalam bidang farmaseutikal memang ada baiknya namun saya lihat implikasi negatif lebih besar daripada positif,” jawab Salehuddin.
“Beberapa operasi penangkapan individu terlibat dengan penyalahgunaan dadah di utara beberapa bulan lalu, kami ada menjumpai daun ketum.”
Penjualan atau pembelian air ketum merupakan sesuatu yang dilarang di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. Di bawah itu, seseorang boleh didenda maksimum RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
“Namun begitu, kesalahan menyimpan daun ketum terletak di luar bidang kuasa AADK kerana ia di bawah pengawasan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.
