Batal hak milik tanah jika tanam ketum

Batal hak milik tanah jika tanam ketum

Azlan menyarankan NCIA membuat kajian saintifik mengenai faedah penggunaan daun ketum ataupun mengkaji tanaman lain yang boleh memberi pulangan dan tidak memudaratkan masyarakat.

Datuk-Seri-Azlan-Man

ARAU:
Kerajaan Perlis sekali lagi menegaskan pendirian melarang mana-mana pihak termasuk penduduk di negeri ini menanam pokok ketum.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Azlan Man berkata, pemilik tanah yang baru mendapat geran hak milik akan ditarik balik hak milik itu sekiranya didapati menanam pokok ketum di tanah mereka.

“Kerajaan negeri memandang serius isu penanaman pokok ketum serta berpendirian tumbuhan itu mendatangkan banyak keburukan, terutamanya ketagihan (air daun ketum) dalam kalangan anak muda di negeri ini, termasuk pelajar sekolah.

“Oleh itu, sebarang dakwaan kononnya kerajaan negeri berniat membenarkan penanaman pokok tersebut kerana tidak tegas berhubung perkara ini tidak wajar ditimbulkan lagi,” katanya selepas majlis ‘Kembara Seindah Syawal 2016’ anjuran Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) di perkarangan Pusat Khidmat Wakil Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pauh hari ini.

Azlan berkata, penjelasan itu dibuat susulan beberapa pihak yang salah faham dengan kenyataan dikeluarkannya semalam berkaitan tanaman pokok ketum sehiangga menyebabkan perbincangan hangat di laman sosial.

“Sewaktu dulu dikatakan daun ketum diguna secara tradisional bagi mengubati beberapa jenis penyakit seperti cirit birit, tetapi zaman sekarang ia disalah guna sehingga peminumnya menjadi ketagih, termasuk golongan remaja, malah ada kanak-kanak berumur bawah 12 tahun yang ketagih air daun ketum,” katanya.

Sehingga kini, beliau tidak pernah terbaca dalam mana-mana buku atau jurnal perubatan menulis dokumen memperakukan secara saintifik daun ketum boleh dijadikan ubat.

“Malah, tidak ada sebarang maklumat yang diketahuinya atau ada mana-mana syarikat farmasi dari dalam atau luar negara yang memerlukan daun ketum untuk sektor perubatan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan NCIA membuat kajian saintifik mengenai faedah penggunaan daun ketum ataupun mengkaji tanaman lain yang boleh memberi pulangan dan tidak memudaratkan masyarakat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.