Hakim Hanipah Farikullah dalam keputusannya hari ini berkata larangan yang dikenakan oleh Jabatan Imigresen itu mengikut perlembagaan.
“Ketua pengarah mempunyai kuasa untuk menyekat seseorang daripada ke luar negara di bawah Akta Imigresen.
“Isu utama dalam kes ini ialah di bawah Seksyen 3(2) Akta Imigresen. Peruntukan itu menyatakan ketua pengarah ada kuasa dalam semua perkara berkaitan imigresen, termasuk menghalang seseorang ke luar negara,” katanya.
Hakim berkata Jabatan Imigresen dalam afidavitnya berkata ia sebelum ini menerima surat daripada ketua polis negara menyatakan Tony sedang disiasat di bawah seksyen 124B Kanun Keseksaan kerana dipercayai melakukan aktiviti yang memudaratkan kepada demokrasi berparlimen.
“Keputusan itu (menyekat ke luar negara) susulan daripada surat itu.”
Selain itu, Hanipah berkata Mahkamah Tinggi terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan berkaitan kes Loh Wai Kong.
Ia memutuskan kerajaan mempunyai kuasa untuk tidak membenarkan seseorang ke luar negara jika individu itu berdepan pendakwaan di mahkamah dan kebebasan peribadi itu, mengikut Perlembagaan Persekutuan, tidak memberikan rakyat Malaysia hak untuk ke luar negara.
Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan yang mewakili kerajaan tidak memohon sebarang kos. Katanya, kes itu mempunyai kepentingan awam.
Tony diwakili peguam Gobind Singh.
Tony yang juga setiausaha publisiti kebangsaan DAP, memfailkan semakan kehakiman tahun lalu, memohon untuk membatalkan keputusan larangan perjalanan yang dikenakan terhadapnya.
Beliau dilarang meninggalkan Malaysia untuk ke Yogjakarta, Indonesia.
Bercakap kepada wartawan di luar mahkamah, Tony berkata beliau kecewa dengan keputusan itu.
“Akta Imigresen tidak adil,” katanya.
Tony berkata beliau hanya dipanggil untuk memberi keterangan sebagai saksi dalam satu siasatan membabitkan aktiviti yang dikatakan memudaratkan demokrasi berparlimen.
“Saya tidak didakwa. Saya tidak diberitahu yang saya seorang suspek.”
