Orang mungkin fikir anda gila kerana terkejar-kejar sambil memegang telefon bimbit seolah-olah mencari barang berharga yang hilang. Selepas berjaya dapatkan raksasa kecil itu, balingan bebola harus tepat ke arahnya bagi melatih Pikachu menjadi kuat. Ini merupakan persediaan sebelum ke medan lawan.
Kawal keterujaan anda dulu! Impian untuk mengejar raksasa kecil itu dalam masa terdekat mungkin tidak tercapai. Ironinya, aplikasi permainan Pokemon Go mendapat tentangan di beberapa negara Islam.
Dikatakan bakal membawa ancaman kepada pembangunan ummah, permainan ini juga dianggap ada elemen judi kerana pemain mendapat ganjaran sekiranya berjaya menangkap Pikachu.
Selain itu, aplikasi ini juga dikatakan melalaikan umat Islam dalam melakukan perkara tidak berfaedah sehingga lupa untuk beribadah.
Segelintir ulama mengeluarkan fatwa permainan ini membahayakan nyawa pemain kerana ada yang sanggup meredah kawasan larangan dan bahaya hanya untuk menangkap Pikachu. Pendek kata, permainan ini mungkin membawa impak tidak baik kepada masyarakat.
Arab Saudi mengeluarkan fatwa Pokemon Go berbentuk judi maka diklasifikasikan sebagai haram.
Di Jakarta pula, pihak berkuasa Indonesia mengarahkan anggota polis supaya tidak bermain permainan Pokemon Go ketika bertugas dan ia akan dikenakan ke atas tentera tidak lama lagi.
Terdahulu di Pennsylvania, Autumn Deiseroth menyalahkan aplikasi permainan ini kerana menyebabkan kecederaan selepas peta Pokemon Go menyarankannya menuju ke jalan yang padat dengan kenderaan.
Aplikasi Pokemon Go kini berada di pasaran Amerika Syarikat, New Zealand, Australia dan Jerman, khas bagi pengguna Android dan iOS sejak 6 Julai lalu.
Maaf Angry Bird, anda kini sudah dilastik Pokemon Go nampaknya.