Setiausaha Agung PKR itu mendedahkan salinan surat yang didakwa daripada Kementerian Kewangan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), yang menyatakan THHE dianugerahkan kontrak secara runding terus untuk membina tiga unit OPV untuk badan itu.
Salah satu daripada syarikat kontrak itu, dakwanya, adalah THHE bekerjasama dengan syarikat-syarikat tempatan lain yang mempunyai kemudahan, kemampuan dan pengalaman membina kapal yang diperlukan.
“Saya perlu tegaskan bahawa syarat khusus bahawa ‘THHE perlu bekerjasama dengan syarikat tempatan lain yang mempunyai kemudahan, keupayaan dan pengalaman membina kapal’ dimasukkan kerana semakan menunjukkan bahawa THHE tidak pernah mempunyai pengalaman membina kapal OPV seperti yang dikehendaki,” kata Rafizi.
“THHE adalah sebuah syarikat yang membina kemudahan pelantar di luar pesisir pantai.
“Kalau dalam perniagaan sekarang pun ia bermasalah untuk menyiapkan kerja-kerja sehingga mengalami kelewatan dan turut digantung oleh Petronas Carigali dari turut serta di dalam kontrak perolehan PETRONAS Carigali, sudah tentu THHE akan bermasalah dalam menyediakan kapal-kapal OPV yang diperlukan sekarang.”
Rafizi mengulangi dakwaan terhadap Najib yang didakwa mengurniakan kontrak itu kepada THHE bagi membantu membaiki keadaan kewangan syarikat, terutamanya selepas THHE disaman oleh kontraktornya kerana hutang tertunggak.
“Tindakan Dato’ Seri Najib menggunakan kontrak membekal OPV untuk menutup kelemahan Tabung Haji melabur di dalam THHE yang sudah terdedah kepada kerugian RM554 juta adalah terdesak dan sangat tidak bertanggungjawab,” kata Rafizi.
“Dalam keadaan keselamatan yang runcing di luar pesisir pantai Malaysia terutamanya di Timur Sabah (ekoran peristiwa penculikan yang berulang), tindakan menganugerahkan kontrak pembinaan OPV ini kepada sebuah syarikat yang langsung tidak berpengalaman samalah seperti menempah masalah kerana kemungkinan besar kapal-kapal OPV itu tidak dapat disiapkan mengikut jadual.
“Ini akan merencatkan usaha menambahbaik kawalan keselamatan perairan negara yang akan menyebabkan ancaman lanun dan penculikan akan berterusan.”
Rafizi semalam mendakwa memiliki dokumen menyokong dakwaan terhadap syarikat yang separuh dimiliki oleh Lembaga Tabung Haji (TH).
“Saya mempunyai dokumen-dokumen yang secara jelas mengesahkan anugerah kontrak secara rundingan terus sebanyak RM740 juta kepada THHE ini yang saya akan dedahkan lagi pada setiap hari minggu ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Ahli Parlimen Pandan itu menyifatkan penganugerahan kontrak yang didakwa itu usaha Najib untuk menyelamatkan syarikat tersebut, yang dakwanya hampir muflis.