Naib ketua sayap Umno itu, Khairul Azwan Harun membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi terhadap bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Abu Kassim Mohamed.
“Saya mempunyai sebab-sebab untuk mempercayai bahawa individu yang dinamakan ada secara berseorangan dan/atau bersama terlibat dalam satu konspirasi untuk menggulingkan Perdana Menteri serta kerajaan Malaysia yang sah,” kata Khairul dipetik FMT daripada laporan polis.
Kaedah yang digunakan mereka bertiga, tambah Khairul, termasuk memberi maklumat sulit dan dokumen kepada badan-badan Amerika Syarikat seperti Biro Siasatan Persekutuan (FBI).
Ia dilakukan tanpa kelulusan yang sah daripada, antara lain, Jabatan Peguam Negara, katanya.
Beliau turut mendakwa sebahagian besar daripada maklumat itu direka, dipalsukan dan diputar belitkan rekaan untuk membantu tri itu mencapai tujuan jahat mereka.
“Perkara yang saya laporkan di sini bukanlah dakwaan semata-mata tanpa asas dan saya pohon supaya pihak polis menyiasat perkara ini dengan segera.”
Laporan Khairul itu menyusuli saman penyitaan sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat terhadap individu-individu yang didakwa melesapkan lebih AS$3.5 bilion (RM14.24 bilion) wang 1MDB.
DoJ mendakwa kesalahan dilakukan dalam tempoh empat tahun dan melibatkan pelbagai individu, termasuk pegawai warga Malaysia dan rakan-rakan mereka, yang berkonspirasi untuk melencongkan berbilion dolar daripada 1MDB secara tipuan.
