‘Boleh ubah kesudahan Kabali tetapi filem bukan punca jenayah’

‘Boleh ubah kesudahan Kabali tetapi filem bukan punca jenayah’

Dua pemimpin PKR dan MIC tidak membantah tindakan mengubah suai filem Kabali, tetapi kerajaan diingatkan tanggungjawab membanteras gejala jenayah.

maniavam-kabali

PETALING JAYA:
Filem Kabali lakonan bintang Tamil, Rajinikanth tidak seharusnya dianggap boleh mengalakkan lebih ramai kumpulan samseng di Malaysia sehingga Lembaga Penapisan Filem mengubah kesudahan filem Tamil itu, menurut Ahli Parlimen Kapar, G. Manivannan.

Pemimpin PKR itu berkata, peningkatan jenayah bukannya berpunca daripada filem seperti Kabali, sebaliknya kerajaan dan pihak penguat kuasa yang perlu bertanggungjawab membanteras gejala itu

“Kalau nak banteras gengster bukan melalui filem, sebab sebelum Kabali ditayangkan sudah ada gengster.

“Contohnya tiga bulan terakhir ini, semua ada senapang, tembak kanan, kiri, jadi jangan spekulasikan filem Kabali menggalakkan gengster,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas laporan filem Kabali yang ditayangkan di Malaysia diubah kesudahannya.

Sementara filem asal berakhir dengan bunyi tembakan, di Malaysia sebuah pesanan dipaparkan memberitahu Kabali akhirnya menyerah diri kepada polis.

Manivannan, bagaimanapun, tidak membantah pengubahsuaian itu.

“Saya terima baik dengan perubahan di babak akhir sesuai dengan keadaan masyarakat di Malaysia. Jangan dalam filem sahaja kita ubah tetapi hakikat sebenar kerajaan kena sesuaikan diri banteras gengster,” katanya.

Tambahnya, kerajaan perlu mendidik penjenayah bertukar menjadi “gengster baik” seperti watak Kabali

Pengerusi LPF Datuk Abdul Halim Abdul Hamid dilaporkan berkata pengubahsuaian filem Kabali itu berdasarkan garis panduan LPF yang mahu elemen hukuman dalam filem jika watak yang ditunjukkan terlibat dengan jenayah.

“Oleh itu, kami meminta penerbit untuk dimasukkan pengajaran dalam bentuk kapsyen pada babak akhir yang mengatakan Kabali menyerahkan diri kepada pihak polis. Ini memberikan mesej bahawa negara kita ada undang-undang dan ia tidak boleh dilaksanakan sendiri,” katanya.

Ketua Wanita MIC Mohana Muniandy turut menyambut baik tindakan LPF itu.

“Saya pun tidak akan sokong kalau ada unsur keganasan melampau diangkat dalam filem tersebut. Bila diubah ia sesuai dengan budaya kita di Malaysia.

“Kebanyakan mereka yang menonton juga menyambut baik perubahan itu, sebab bukan semua rakyat kaum India Malaysia gengster. Apa pun bagi saya filem ini secara keseluruhan banyak yang positif berbanding negatif, malah filem ini juga dapat menaikkan nama Malaysia dipersada dunia,” katanya ketika dihubungi FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.