Penduduk, pelupusan haram pencemar terbesar Sungai Klang

Penduduk, pelupusan haram pencemar terbesar Sungai Klang

Tabiat penduduk sepanjang Sungai Klang memalukan dan tapak pelupusan haram berleluasa, kata kontraktor pembersihan sungai

sungai-klang

PETALING JAYA:
Tabiat penduduk di sekitar Sungai Klang dan tapak-tapak pelupusan haram yang tidak dibanteras penyumbang utama pencemaran sungai yang kotor dan busuk itu.

Menemui kontraktor yang bertanggungjawab membersihkan Sungai Klang, FMT diberitahu pelbagai jenis sisa dan buangan manusia boleh ditemui di perangkap-perangkap sampah.

“Malu untuk saya akui tabiat penduduk yang duduk di sepanjang sungai mempunyai tabiat yang tidak baik,” kata Muzafar Mohamad, pemangku Pengurus Besar Hebat Abadi Sdn Bhd (HASB), mengulas pencemaran sampah di Sungai Klang yang makin meruncing.

Sungai Klang melalui wilayah pihak berkuasa tempatan Klang (21km), Shah Alam (20km), Petaling Jaya (6km) dan Subang Jaya (9km). Menurut HASB, kawasan paling kritikal dengan sisa sampah terapung terbanyak adalah sepanjang 10km dari Pengkalan Batu, Klang sehingga Bandar Sultan Sulaiman, Klang.

The Star melaporkan perangkap sisa di Sungai Batu, salah satu anak sungai Sungai Klang, mengumpul lebih satu tan sampah setiap bulan dan keadaan bertambah buruk pada musim hujan.

Selain sampah sarap dan bahan kumbahan, buangan seperti kayak, topi keledar, bola, dahan pokok dan tin timah disamping plastik, polisterin dan botol yang biasa ditemui, menurut laporan itu.

HASB bersama kontraktor lain bertungkus lumus membersihkan sungai yang antara paling teruk tercemar di Malaysia. Satu rancangan berbilion ringgit dirancang untuk membersihkan sungai itu ke paras selamat untuk kegunaan rekreasi, seterusnya memajukan tebing sungai menjadi hartanah yang diingini untuk kegunaan perumahan dan komersil.

Misi besar ini menjadi rumit tanpa kerjasama penduduk, kata Muzafar. HASB bertanggungjawab keatas kerja-kerja pembersihan sepanjang 56 km bermula dari Kampung Pasir, Petaling Jaya sehingga muara sungai berhampiran Kelab Kapal Layar Diraja Selangor, Klang.

“Selain itu wujudnya tapak-tapak pelupusan haram, di tebing-tebing sungai,” katanya, yang hanya mampu melihat pelupus-pelupus haram menjejaskan usaha HASB.

“Itu diluar bidang kuasa kami. Tugas kami hanyalah mengambil sampah di perangkap sampah,” katanya, dan menambah kewujudkan kegiatan haram itu sudah dimaklumkan kepada pihak berkuasa.

Sementara itu, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago turut membidas sikap warga dalam jagaannya.

“Longkang dan sungai bukan tong sampah. Tong sampah itu di rumah-rumah,” keluhnya ketika dihubungi FMT.

“Saya akan mulakan satu program kesedaran. Saya akan edarkan risalah dan naikkan sepanduk beri kesedaran pada rakyat kalau buang sampah di longkang, parit dan sungai-sungai, ini akan menjadi masalah kepada masyarakat semasa hujan lebat dan akan jadi banjir,” katanya.

Beliau turut menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri supaya memperketat penguatkuasaan undang-undang di sepanjang sungai bagi membetulkan sikap orang-ramai dan menutup tapak-tapak pelupusan haram.

“Kerajaan mesti kuatkan penguatkuasaan dan terus saman. Jangan bincang. Kita mesti sedarkan orang ramai bahawa kegiatan seperti itu tidak boleh diterima,” tegasnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.