
The Star melaporkan, Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof berkata meskipun empat peringatan dan tarikh akhir diberikan pada 22 Julai 2016, kerajaan negeri masih gagal menyerahkan dokumen yang diperlukan untuk menyokong permohonannya.
“Saya bingung kerana ia menyatakan kajian projek bernilai RM305 juta sudah 83% siap tiga bulan lalu.
“Ini bagi menyokong permohonan mereka dan membantu kementerian untuk mengkaji projek itu,” katanya dalam satu kenyataan kepada akhbar itu hari ini.
Beliau berkata tidak ada pihak berkuasa yang boleh meluluskan projek semahal itu tanpa dokumen mencukupi menyokong cadangan berkenaan.
“Tidak ada pihak berkuasa di dunia ini akan memberi kelulusan bagi projek infrastruktur besar dengan kos berbilion ringgit dengan hanya surat dua halaman yang dihantar kerajaan negeri kepada kami.
“Saya tidak pasti adakah ini amalan standard di Pulau Pinang tetapi ia tentunya bukan apa yang kementerian amalkan,” katanya.
Beliau berkata susulan kekurangan kerjasama yang diberikan kerajaan negeri, kementerian percaya permohonan jambatan ketiga itu tidak lagi mendesak.
“Kami sudah menulis surat menyampaikan keputusan dan kekesalan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng,” katanya.