Waspada penularan ‘sel senyap’ dalam kalangan guru, pelajar – Mahdzir

Waspada penularan ‘sel senyap’ dalam kalangan guru, pelajar – Mahdzir

Golongan tersebut menggunakan pelbagai teknologi baharu sebagai medium penyebaran fahaman ekstremis, amat berbahaya kerana bergerak secara senyap.

mahdzir-khalid-is-sekolah

PADANG TERAP:
Kementerian Pendidikan mahu guru dan pelajar berwaspada dengan golongan ‘sleeping cells’ atau ‘sel senyap” yang secara diam-diam menyebarkan dan mempromosi fahaman dan kegiatan keganasan.

Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata berkata golongan tersebut yang menggunakan pelbagai teknologi baharu sebagai medium penyebaran fahaman ekstremis itu amat berbahaya kerana bergerak secara senyap tanpa pengetahuan masyarakat sekeliling.

“Contohnya penahanan 14 individu di lima negeri pada 14 Julai sehingga Rabu lepas kerana disyaki terlibat dengan kumpulan militan IS … (mereka) bergerak dengan begitu senyap,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilifitri SMK Dato Syed Ahmad di sini hari ini.

Justeru, beliau berkata, guru perlu sentiasa berwaspada dan memainkan peranan membantu kerajaan dalam memberi penerangan kepada pelajar berkaitan bahaya fahaman militan IS yang jelas bertentangan dengan ajaran agama Islam.

Dalam pada itu, Mahdzir berkata pihaknya akan mengarahkan pihak pengurusan tertinggi kementerian untuk mengkaji aspek yang boleh dimasukkan atau ditambah baik dalam setiap kurikulum sekolah.

“Sebenarnya dari segi kurikulum tiada masalah, yang kita nak ialah bagaimana pendidikan itu boleh diberi dalam bentuk kesederhanaan dan juga berkaitan dengan isu-isu semasa yang boleh difahami oleh pelajar.

“Tidak boleh bercakap secara berselindung, kena berterus terang kepada pelajar (tentang bahaya fahaman ekstremis), katanya.

Baru-baru ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu tiga nilai utama diterap dalam kurikulum Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan dalam menjamin kestabilan, kesejahteraan dan kemakmuran negara.

Perdana menteri berkata kajian semula juga perlu dibuat terhadap pendidikan agama di beberapa institusi bagi mengenal pasti kelemahan yang mendorong kepada keterlibatan dalam ekstremisme oleh individu tertentu.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.