Adlin akan lebih hati-hati pilih undangan pihak luar

Adlin akan lebih hati-hati pilih undangan pihak luar

"Nama saya disalah guna sehingga ditahan polis bagi membantu siasatan kes ini dan berasa dijadikan kambing hitam," kata Adlin.

adlin-aman-ramli

PETALING JAYA:
Pelakon dan pelawak Adlin Aman Ramlie, 44, akui akan lebih berhati-hati dalam memilih undangan mana-mana pihak yang mahu dia membuat penampilan khas mempromosikan syarikat mereka.

Dia berkata demikian selepas berita dia terlibat dalam pelaburan skim cepat kaya sebuah syarikat tersebar.

Rabu lalu Adlin dan beberapa individu lain berpangkat Datuk telah ditahan polis kerana dipercayai terlibat dalam penipuan hartanah yang melibatkan kerugian hampir RM500,000.

“Nama saya disalah guna sehingga ditahan polis bagi membantu siasatan kes ini dan berasa dijadikan kambing hitam,” katanya di sidang media petang tadi, lapor Harian Metro.

Bagaimanapun, Adlin menafikan dia ditahan reman empat hari tetapi hanya dibawa ke balai polis pada 20 Julai lalu, untuk membantu siasatan berkaitan kes penipuan itu dan dibebaskan pada hari yang sama.

“Pada jam 2.30 petang Rabu, polis ke rumah meminta saya hadir ke Bukit Aman dan saya kemudian dibawa ke Balai Polis Dang Wangi.

“Selepas berpuas dengan keterangan diberikan, saya dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya.

Adlin yang mengaku mengenali beberapa individu yang dikatakan terbabit dalam penipuan hartanah itu memberi jaminan akan terus membantu polis dalam siasatan sindiket penipuan besar ini.

Dia juga menekankan tujuan mengadakan sidang media adalah untuk membersihkan namanya selain menyangkal dakwaan tidak betul mengaitkan dirinya dengan penipuan tersebut.

Sebelum ini, media melaporkan Timbalan Pengarah Risikan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Roslan Abd Wahid berkata, seorang pelakon dan pelawak ditahan di Cyberjaya dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk siasatan lanjut berkaitan kes penipuan hartanah berjumlah hampir RM500,000.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.