Tangkapan sifar, Terengganu isytihar langkah wajib solat Jumaat ‘berjaya’

Tangkapan sifar, Terengganu isytihar langkah wajib solat Jumaat ‘berjaya’

Lebih setahun selepas Terengganu memperkenalkan hukuman mengarak lelaki ponteng solat Jumaat, kerajaan negeri mendakwa ia berjaya.

Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu
PETALING JAYA: Setahun selepas memperkenalkan undang-undang menghukum lelaki Islam yang tidak menghadiri solat Jumaat, kerajaan negeri Terengganu menganggap ia berjaya dengan alasan tiada tangkapan dibuat.

Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi Dan Tugas-Tugas Khas, Ghazali Taib, yang juga memegang portfolio hal ehwal agama memberitahu FMT, perkiraan kejayaan itu dibuat berdasarkan tidak ada rekod lelaki Islam ditangkap atau disabit kesalahan tidak menunaikan solat Jumaat.

“Setiap kali tiba waktu solat Jumaat kita susah nak cari orang (lelaki) yang tidak solat Jumaat, saya rasa Terengganu berjaya menangani mereka yang tidak hadir solat.

“Kita berjaya sebab kita payah nak jumpa orang lelaki berada di kawasan umum, bermakna di Terengganu bila hari jumaat seluruh orang (lelaki) akan pergi solat jumaat,” kata Ghazali yang juga memegang portfolio hal ehwal agama.

Sebelum ini dilaporkan rancangan mahu menghukum lelaki Islam yang ponteng solat Jumaat dengan mengarak mereka dalam kenderaan jenazah di khalayak umum masih tidak berjaya, selepas lebih setahun ia dilaksanakan.

Majlis Hal Ehwal dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) berkata ia sukar dikuat kuasakan kerana pegawai lelaki juga perlu menunaikan solat Jumaat.

Justeru, Maidam memutuskan mengambil lebih ramai pegawai wanita untuk mengesan pesalah.

Maidam memperkenalkan langkah itu pada Februari tahun lepas, dan direstui kerajaan negeri.

Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman berkata pihaknya terpaksa bertegas kerana ramai yang menganggap solat Jumaat sebagai remeh, dan tidak malu bersiar-siar di lokasi tertentu pada waktu solat Jumaat.

Bagaimanapun, cadangan Maidam melepaskan tugas kepada pegawai penguat kuasa wanita dibantah Pengerusi Amanah Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah, yang menyifatkan tindakan itu tidak praktikal dan mempertaruhkan “nyawa” pegawai berkenaan.

Katanya, akan timbul risiko sekiranya lelaki yang ponteng solat bertindak agresif.

“Siapa yang boleh membantu pegawai berkenaan? Kkeselamatan mereka bagaimana? Ini perlu diperhalusi,” kata ahli Parlimen Kuala Terengganu itu kepada FMT.

Sebaliknya, Raja Bahrin berkata satu cara yang lebih baik ialah dengan berdakwah dan menasihati anak muda.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.