Selain kopi, senyuman juga melekat di cawangan ‘istimewa’ Starbucks

Selain kopi, senyuman juga melekat di cawangan ‘istimewa’ Starbucks

Cawangan Starbucks yang baru dibuka ini istimewa kerana stafnya yang istimewa.

starbuck1

KUALA LUMPUR:
Adalah satu kelainan untuk menghirup minuman di Starbucks cawangan Bangsar Village II.

Senyuman tidak pernah lekang di bibir barista yang sedia mengambil pesanan dengan sekeping nota di tangan. Ketika di kaunter, penggunaan bahasa isyarat adalah normal.

Sebelum ini, pelbagai syarikat besar dan makanan segera lain pernah membuka ruang bagi komuniti OKU, termasuk Mydin, KFC, McDonalds dan MarryBrown.

Menurut Pengurus Hal Ehwal & Strategi Digital Salleharon Ahmad, OKU seharusnya diberi tempat dalam pasaran pekerjaan supaya mereka tidak terus terpinggir oleh masyarakat.

“Dengan peluang yang diberikan kepada golongan istimewa ini sekurangnya ianya mampu membina keyakinan diri untuk berhadapan dengan masyarakat,” katanya kepada FMT.

Pengurus Cawangan yang dikenali Karen berkata ia merupakan usaha memupuk semangat kerohanian dan pihak Starbucks mahu golongan pekak dan bisu mendapat peluang sama-rata seperti insan lain.

“Mereka adalah sebahagian daripada komuniti yang wajar diberi perhatian,” katanya.

Staf, Muhammad Aizad Ariffin berkata impiannya memegang jawatan sebagai pengurus shif akhirnya tercapai selepas tiga tahun mengutip pengalaman di Starbucks.

“Saya gembira dengan peluang yang diberikan dan berharap dapat menjadi contoh kepada OKU lain,” katanya yang turut mengajak golongan senasib dengannya menjadi sebahagian warga kerja Starbucks.

Tetapi pelanggan di sini mendapati ada sesuatu yang begitu melekat selain daripada kopi di sini: senyuman.

“Auranya cukup berbeza di sini. Penuh dengan senyuman. Di kaunter, keadaan lebih tenang dan mudah. Hanya tanda menu di kertas yang diberikan, lebih sistematik dan kita tidak perlu mendongak ke dinding untuk pilih menu,” kata Yasmin Ramlan, peminat setia Starbucks.

Starbucks cawangan Bangsar Village II ini dirasmikan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun, Pengerusi Kumpulan Berjaya Berhad Tan Sri Vincent Tan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Berjaya Berhad Datuk Seri Robin Tan.

Pelanggan boleh menggunakan bahasa isyarat, namun sekiranya tidak mahir, penggunaan nombor yang tertera di skrin akan memudahkan pemahaman barista.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.