AS mahu ektradisi raja cetak rompak Kickass Torrents

AS mahu ektradisi raja cetak rompak Kickass Torrents

Vaulin didakwa memiliki Kickass Torrents atau KAT yang menjadi sumber terbesar laman cetak rompak di dunia sejak beberapa tahun kebelakangan.

Jabatan Kehakiman AS

WARSAW:
Amerika Syarikat memohon ekstradisi terhadap pemilik laman web cetak rompak dalam talian yang terbesar di dunia, Kickass Torrents atas tuduhan mengedar filem cetak rompak, muzik dan kandungan lain secara haram bernilai lebih AS$1 bilion .

Jabatan Kehakiman AS mengumumkan aduan jenayah terhadap warga Ukraine, Artem Vaulin, 30, yang ditahan di Poland dikehendaki pihak berkuasa Amerika atas kesalahan pelanggaran hak cipta, pengubahan wang haram dan caj-caj lain.

Vaulin didakwa memiliki Kickass Torrents atau KAT yang menjadi sumber terbesar laman cetak rompak di dunia sejak beberapa tahun kebelakangan.

Jurucakap kedutaan AS di Warsaw, Stephen Dreikorn mengesahkan permohonan ekstradisi AS terhadap Artem Vaulin.

Laman web KAT menawarkan persekitaran canggih dan mesra pengguna memudahkan sesiapa sahaja mencari dan mendapatkan kandungan yang dilindungi oleh hak cipta.

Kenyataan Jabatan Kehakiman menyatakan, KAT mengedar filem cetak rompak, permainan video, program televisyen dan muzik, menjadi laman web ke-69 paling kerap dilawati di internet.

“Vaulin didakwa menjalankan laman web perkongsian fail haram paling kerap dilawati dan bersalah mengedarkan bahan hak cipta bernilai AS$1 bilion,” kata Penolong Peguam Negara, Leslie Caldwell.

“Bagi mengelak daripada ditangkap dan dikenakan tindakan undang-undang, Vaulin menggunakan pelayan di negara di seluruh dunia dan sering berpindah domain.

“Dia bagaimanpun ditangkap di Poland,” katanya.

Jurucakap pengawal sempadan Poland, Agnieszka Golias kepada AFP berkata Vaulin ditahan di lapangan terbang Chopin Warsaw pada hari Rabu semasa dia dalam percubaan untuk memasuki Poland.

Pegawai AS kini dalam usaha mengekstradisi Vaulin atas tuduhan yang difailkan di mahkamah persekutuan di Chicago yang turut mengarahkan rampasan akaun bank dan tujuh nama domain yang berkaitan dengan laman web perkongsian fail tersebut.

KAT beroperasi dalam 28 bahasa dan menayangkan filem yang masih bermain di pawagam bersama-sama kandungan lain, menjana pendapatan daripada pengiklanan di laman web itu.

Nilai laman web itu dianggarkan lebih AS$54 juta dengan hasil pengiklanan tahunan sebanyak AS$12.5 juta hingga AS$22.3 juta.

KAT telah berpindah domain beberapa kali selepas disekat di Britain, Ireland, Itali, Denmark, Belgium dan Malaysia serta bergantung kepada rangkaian pelayan komputer yang terletak di seluruh dunia, termasuk di Chicago.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.