95% banduan keganasan pulih

95% banduan keganasan pulih

Baki 5% tidak dapat dipulihkan kerana mereka masih berdegil dan tidak mahu dipulihkan.

nur-jazlan_banduan_isis_600

SANDAKAN:
Sebanyak 95% banduan terbabit dalam kegiatan keganasan yang menjalani program pemulihan dan deradikalisasi di penjara berjaya dipulihkan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang tidak mendedahkan jumlah banduan itu berkata, 5% lagi belum dapat dipulihkan kerana masih berdegil dan tidak mahu dipulihkan.

Katanya, banduan terlibat disabit kesalahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma), Akta Pencegahan Keganasan 2015 (Pota) dan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca).

“Mereka menjalani pemulihan di penjara menerusi empat fasa bagi membolehkan mereka kembali kepada masyarakat,” katanya selepas menyampaikan Pingat Kedaulatan Negara kepada 316 anggota Jabatan Penjara Sabah hari ini.

Beliau berkata, banduan akan diberi rawatan dan orientasi pada fasa pertama, manakala fasa kedua adalah program membentuk sahsiah bagi mengubah pemikiran mereka dan fasa ketiga ialah latihan kemahiran serta vokasional supaya mereka memperoleh kemahiran mendapat pekerjaan apabila kembali ke pangkuan masyarakat.

Menurutnya, fasa keempat adalah banduan menjalani integrasi sosial dengan keluarga mereka yang memainkan peranan penting supaya banduan tidak kembali lagi kepada aktiviti berunsur keganasan apabila dibebaskan.

Nur Jazlan berkata, di negara ini, kaedah pemulihan diambil terhadap banduan termasuk yang terlibat dalam kegiatan keganasan.

Katanya, Malaysia mengutamakan hak asasi manusia dan menganggap banduan masih boleh dipulihkan untuk kembali menjalani kehidupan dalam masyarakat.

Beliau berkata, ia berbeza dengan negara lain yang menghukum pesalah aktiviti keganasan dengan hukuman bunuh dan penyeksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.