Selena Gomez: Daripada ‘Barney’ kepada berani

Selena Gomez: Daripada ‘Barney’ kepada berani

Satu masa dulu terkenal dengan wataknya dalam Barney & Friends, kini penampilan seksinya menjadi alasan bantahan beberapa pihak terhadap konsertnya di Shah Alam.

selena

PETALING JAYA:
Ramai antara kita yang membesar dengan dinasor ungu “Barney & Friends”, dan antara pelakon rancangan popular kanak-kanak ini ialah Gianna, kini wanita yang sudah matang dan terkenal dengan aksi ghairah dalam muzik videonya.

Selena Gomez, yang bakal mengadakan konsertnya di Shah Alam minggu depan, dikatakan terlalu seksi menyebabkan kehadirannya dibantah Pemuda PAS yang bimbang pengaruhnya ke atas anak muda.

Mewarisi darah seni ibunya yang juga seorang pelakon, Amanda Dawn Cornett, Selena dibesarkan oleh ibu selepas kedua ibu-bapanya bercerai ketika usia lima tahun.

Pada 2004, Selena mengundurkan diri daripada Barney & Friends. Dia mula berubah selera, dan berlakon filem seperti “Walker, Texas Ranger: Trial by Fire” and “Spy Kids 3-D: Game Over”, dan mendapat respon positif.

Pada 2007, Selena melangkah setapak lagi dengan peranannya dalam filem Disney, Wizards of Waverly Place, yang berjaya menarik 11.4 juta penonton pada tayangan hari pertama.

Selena kemudian menubuhkan kumpulan “Selena Gomez & The Scene” lalu tampil dengan album pertama, Kiss & Tell, disusuli albumnya, “A Year Without Rain” pada 2010.

Selena yang membintangi filem remaja Monte Carlo ini terus melonjakkan nama beliau ke puncak populariti, dan namanya sekali lagi menjadi sebutan disebabkan hubungannya dengan penyanyi Justin Bieber.

Walaupun percintaan mereka sering dirahsiakan, dari sinilah penampilan Selena mula berubah.

Sedikit demi sedikit, imej Disney mula hilang.

Sedekad sudah berlalu sejak zaman Barney, dan Selena kini bukan lagi kanak-kanak cilik yang petah menyanyi itu.

Muzik videonya yang terbaharu, “Hands To Myself”, menunjukkan aksi berani dan ghairah, jauh menyimpang daripada “Gianna” yang kita kenali satu masa dulu.

Selena memiliki 90 juta pengikut di Instagram, dan ternyata gadis ini tidak perlu berharap pada populariti Bieber dalam mengekalkan karier seninya.

Malah, sekeping gambar Selena yang terpampang di media sosialnya kini mencecah nilai AS$550,000.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.