‘Drama Sayangku Kapten Mukhriz pun minta kebenaran kita’

‘Drama Sayangku Kapten Mukhriz pun minta kebenaran kita’

Zawara sepatutnya minta kebenaran Kementerian Pertahanan sebelum guna trak pelancar roket tersebut.

zawara-caffee

KUALA LUMPUR:
Mana-mana pihak yang ingin menggunakan apa sahaja yang berkaitan dengan tentera perlu mendapatkan kebenaran Kementerian Pertahanan terlebih dahulu, kata sumber dalaman kementerian itu.

Beliau mengulas tindakan Zawara Coffee yang menggunakan trak pelancar roket yang didakwa dibeli daripada Angkatan Tentera Malaysia sebagai gimik pemasarannya.

“Mereka sepatutnya membuat permohonan kepada kita, dan kita ada prosedur sama ada untuk membenarkannya atau tidak.

“Ia terpakai untuk semua perkara yang berkaitan dengan tentera. Drama ‘Sayangku Kapten Mukhriz’ pun minta kebenaran daripada kita,” katanya yang enggan dinamakan ketika ditemui di majlis Rumah Terbuka Kementerian Pertahanan hari ini.

Beliau berkata Zawara juga sepatutnya mengubah bentuk fizikal dan reka corak kenderaan tersebut sebelum menggunakannya kerana bentuk sedia ada terlalu menyerupai tentera dan boleh mengelirukan orang ramai.

Polis Sepang semalam menahan dua lelaki yang sedang menaiki kenderaan tersebut di Jalan Semarak Api, Cyberjaya.

Mereka dibebaskan dengan ikat jamin semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana mengubah suai kenderaan. Kenderaan perisai itu kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Zawara Coffee Sdn. Bhd, Kamarul Ariff ketika dihubungi FMT berkata trak tersebut digunakan sejak sebulan lalu, dan dibeli secara peribadi daripada Angkatan Tentera Malaysia.

Beliau juga memohon maaf atas kekeliruan yang berlaku dan berjanji akan mengubah bentuk fizikal trak tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.