DAP gelabah, seolah yakin pendakwaan akan ‘lekat’ – PAS P. Pinang

DAP gelabah, seolah yakin pendakwaan akan ‘lekat’ – PAS P. Pinang

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang berkata pihaknya sudah bersedia hadapi sebarang kemungkinan

Fauzi-Mohd-Yusofpas

GEORGE TOWN:
Cadangan mengadakan pilihan raya mengejut negeri jelas menunjukkan bahawa kerajaan DAP Pulau Pinang dalam keadaan gelabah, kata Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Fauzi Mohd Yusof.

Beliau berkata Ketua Menteri Lim Guan Eng sepatutnya menunggu sehingga mahkamah membuat keputusan terhadap dua pertuduhan yang dihadapinya.

“Tindakan kerajaan negeri ini seolah-olah macam DAP yakin bahawa pendakwaan terhadap Guan Eng itu akan lekat (disabit kesalahan). Tindakan ini juga seolah-olah nak selamatkan Guan Eng dan DAP.

“Kami melihat dalam isu ini sepatutnya DAP tak buat tindakan yang mendatangkan masalah kepada rakyat … buat satu perkara yang menyebabkan rakyat menjadi mangsa,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini

Beliau berkata pilihan raya negeri yang akan diadakan itu sudah pasti akan melibatkan perbelanjaan yang besar.

“Rakyat juga akan menghadapi dua pilihan raya, iaitu pilihan raya negeri dan Parlimen. DAP mengambil jalan untuk mengadakan sesuatu yang boleh mendatangkan masalah sehingga boleh menyebabkan prestasi DAP, ketua menteri terhakis dalam pilihan raya akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Fauzi berkata PAS Pulau Pinang sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan dan akan bermesyuarat untuk membincangkan perkara itu dengan lebih lanjut.

Laporan media baru-baru ini memetik Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P. Ramasamy sebagai berkata DAP menyenaraikan dua pilihan sebagai respons kepada dua tuduhan rasuah yang dikenakan terhadap Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Pilihan pertama ialah mengadakan pilihan raya mengejut dan pilihan kedua ialah menunggu pilihan raya umum akan datang.

Pada 30 Jun lepas, Guan Eng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di sini, terhadap dua pertuduhan rasuah berhubung penukaran zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.

Turut didakwa bekas pemilik banglo, Phang Li Koon, yang juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat dengan Guan Eng bagi mendapatkan untuk diri Guan Eng lot tanah dan rumah itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.