Menulis dalam kolumnya di Sinar Harian hari ini, anak kepada ketua menteri Sarawak yang pertama itu berkata semua pihak termasuk golongan yang sering dilabel “liberal” dan “freemason” terlibat dalam kehidupan seharian di zaman moden.
“Mahu tak mahu, kita kerjasama dengan Kristian, Buddha, Hindu, Yahudi, Freemason, ahli maksiat, ahli korupsi, salafi, sufi, liberal.
“Bila kita sakit dan jumpa doktor, adakah kita minta doktor buktikan dulu bahawa dia bukan Freemason, barulah kita benarkan dia rawat kita?” soal beliau yang turut dikenali dengan panggilan Xifu Naser.
Naser mengulas sikap sesetengah tokoh dan pendakwah yang kerap menuduh seseorang itu berfahaman Freemason dan liberal.
Freemason merupakan organisasi dengan pengaruh luas di seluruh dunia, yang tidak berpaut kepada agama atau kefahaman politik dan terlibat dalam kerja kebajikan.
Naser berkata beliau senada dengan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Dr Maszlee Malik dan bekas menteri besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang membenarkan kerjasama dengan pelbagai pihak “selagi kita lebih bijak merancang strategi daripada mereka”.
Nik Aziz ketika hayatnya dikenali dengan pendirian terbuka menjalinkan pakatan politik antara PAS dan parti berlainan ideologi.
Malah, tokoh PAS itu pernah menimbulkan kontroversi dengan kenyataan beliau yang berkata sanggup bekerjasama dengan “syaitan”.
“Siapa yang nak tolong kerajaan Islam, kami sebagai pemimpin Islam mesti terima sama ada DAP, MCA, dan MIC. Kalau nak tolong mengapa kita tolak. Jika DAP ikhlas nak tolong PAS, saya terima. Usahkan DAP, syaitan pun boleh saya terima,” katanya pada 1999.
Tahun lepas, PAS memutuskan hubungan dengan DAP, selepas puak konservatif mengambil alih jawatan tertinggi parti pada muktamar PAS, yang menyaksikan pelbagai tuduhan dan label dilontarkan terhadap kumpulan yang mahu meneruskan kerjasama dalam Pakatan Rakyat.
Naser berkata umat Islam gemar melontarkan label terhadap mereka yang mempunyai pendekatan berbeza.
Beliau memberi contoh hubungan Arab Saudi dan Iran, dua kuasa dikaitkan dengan kumpulan Wahabi dan Syiah, dan bagaimana masing-masing cuba menggunakan pengaruh barat malah Israel dalam melemahkan satu sama lain.
Katanya, jika diteliti, pergerakan Islam sendiri tidak terlepas daripada ajaran Freemason dan liberal, malah, konsep parti politik dan pilihan raya yang didukung pejuang Islam.
“Tamadun kita dulu tak ada konsep parti politik atau pilihan raya. Rakyat tidak keluar undi seperti sekarang. Falsafah Liberty, Equality dan Fraternity adalah roh liberal demokrasi. Ini slogan Freemason.
“Konsep kepartian dalam parti politik Islam itu sendiri dipengaruhi falsafah politik Freemason! Konsep ‘Parti adalah jemaah dan jemaah adalah parti’ bukan ajaran Nabi!” katanya, dipercayai merujuk kepada slogan yang kerap digunakan pemimpin parti Islam.
“Lu mana mau larikan diri sekarang? Semua adalah Freemason!”