FAM nafi abai pemain

FAM nafi abai pemain

Kebajikan pemain sentiasa dijaga seperti elaun harian dan bonus diberikan apabila mewakili skuad kebangsaan

fam-2

PETALING JAYA:
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menegaskan badan induk bola sepak itu sentiasa menjaga kebajikan pemain yang dipanggil ke skuad kebangsaan.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata demikian menjawab dakwaan pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkait persaraan empat pemain pasukan itu daripada skuad kebangsaan.

“Kenyataan bahawa pihak persatuan tidak menjaga kebajikan para pemain yang dipanggil ke kem latihan pusat skuad kebangsaan adalah tidak benar sama sekali kerana semua keperluan telah pun disediakan lengkap untuk mereka termasuk tempat tinggal di hotel, pakaian, makanan dan pengangkutan ke tempat latihan.

“Setiap pemain yang dipanggil turut diberi elaun harian dan bonus perlawanan yang bersesuaian dan berpatutan sepanjang tempoh mereka berada dalam kem latihan pusat,” kata Hamidin dalam satu kenyataan di laman rasmi FAM.

Sebelum ini, pemain JDT Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abdul Radzak, S Kunanlan dan Mohd Amirulhadi Zainal mengumumkan bersara daripada skuad kebangsaan dengan alasan mahu memberi peluang kepada pemain muda.

Persaraan mereka dikatakan berkait dengan kritikan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) baru-baru ini.

Tunku Mahkota Johor itu turut mendakwa FAM gagal memelihara kebajikan pemain.

Selain dari aspek penginapan, pengangkutan dan makanan, Hamidin berkata pemain yang cedera ketika dalam latihan skuad kebangsaan turut dijaga.

Katanya, terdapat doktor pasukan dan fisioterapis akan menjaga dan mengawasi masalah kecederaan yang dialami pemain.

“Malah jika perlu dihantar ke hospital, ia akan dilakukan dengan kadar yang segera. Semua ini sentiasa diambil serius oleh pihak pengurusan dan kejurulatihan skuad kebangsaan,” katanya.

Sementara itu, FAM akan menghantar surat rasmi kepada keempat-empat pemain itu menerusi kelab JDT bagi meminta mereka menulis surat rasmi persaraan mereka daripada skuad kebangsaan.

“Mereka perlu menyatakan sekali sebab-sebab utama mendorong mereka untuk berbuat demikian. Bagaimanapun, pintu terhadap pemain-pemain ini masih terbuka untuk kembali dipanggil ke skuad kebangsaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.