Pembangunan melampau ‘bunuh’ Taman Bukit Jalil

Pembangunan melampau ‘bunuh’ Taman Bukit Jalil

"Pihak berkuasa harus bertindak melindungi taman ini supaya generasi akan datang dapat menikmati taman ini. "

Bukit jalil Park

KUALA LUMPUR:
Sekumpulan penduduk di sekitar taman rekreasi Bukit Jalil menggesa pembangunan yang semakin berleluasa di sekitar taman ini dihentikan segera.

Kumpulan yang dikenali Pengunjung Taman Bukit Jalil berkata, pembinaan projek kondominium mewah pada tahun lalu menyebabkan kesan teruk kepada ekosistem di mana kolam kering dan haiwan liar berkurangan.

Ahli Jawatankuasa Kumpulan, Chin Choong Men yang kecewa dengan keadaan kolam turut mengadu pembangunan telah menyekat aliran air dari bukit bersebelahan taman.

“Ia adalah sumber utama air untuk taman dan ia kini tersekat,” katanya sambil menunjukkan dasar sungai kering yang sudah mula ditumbuhi rumput manakala sebuah lagi cerun aliran air dari bukit-bukit disekat oleh sisa pembinaan.

“Pada waktu hujan lebat, kolam dipenuhi air lumpur dari tapak pembinaan.

“Bukan sahaja air kolam semakin berkurangan, tetapi kehidupan seperti ikan Jepun Koi,
tilapia dan kura-kura juga hilang,” katanya yang khuatir jika keadaan ini tidak dikawal, pencemaran boleh memusnahkan fauna.

“Pada masa ini, kita masih dapat melihat angsa, monyet dan biawak di taman. Tetapi bagaimana pada masa depan?” soalnya.

Seorang lagi pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Tan berkata, kolam berbau
seperti pembetung apabila hujan.

“Saya sangat kecewa. Saya telah datang ke sini sejak Dr Mahathir Mohammed (perdana menteri) merasmikan tempat ini beberapa dekad yang lalu. ”

Pengerusi kumpulan itu, Roslan Kassim berkata pembinaan juga mencemar udara dengan debu memandangkan pemaju mencampurkan konkrit bersebelahan dengan taman.

“Kawasan ini sudah tiada kualiti hidup lagi, kesihatan terjejas apabila kita bersenam di sini.

“Pihak berkuasa harus bertindak melindungi taman ini supaya generasi akan datang dapat menikmati taman ini. ”

Yong Khoi Foo, seorang pesara berusia 69 tahun, memandang serius sebahagian daripada taman itu dinyahwartakan tanpa pengetahuan rakyat.

“Kami tidak tahu bahawa tanah itu telah dibersihkan untuk pembinaan. Pemaju memproses konkrit di tepi taman. Ianya bukan sepatutnya berlaku,” katanya.

Chin bakal bermesyuarat dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk membawa
kebimbangan tentang taman yang menerima 60,000 pengunjungsebulan.

Satu kempen menandatangan petisyen kepada DBKL diadakan sebagai tanda protes dan menyelamatkan taman.

“Jika kita dan pihak berkuasa duduk tanpa melakukan apa-apa, kita tidak akan dapat memelihara taman itu untuk masa depan, “katanya.

Taman ini diuruskan oleh DBKL meliputi kawasan seluas 80 ekar lazimnya dikunjungi oleh orang ramai untuk berjogging, berkelah, bersenam dan kanak-kanak yang menggunakan taman permainan.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.