“Sarawak sudah cukup bersedia dan menyiapkan semua perkara yang ingin mereka kemukakan kepada kerajaan persekutuan. Saya tidak fikir perkara itu akan menjejaskan mereka, tapi saya menghargai semua komen, termasuk daripada pembangkang, yang menunjukkan mereka semua prihatin tentang Sarawak.
“Saya masih memainkan peranan dalam hal itu, saya masih lagi menteri yang bertanggungjawab menyelia perkara berkaitan penurunan kuasa kepada Sarawak.
Perkara itu diputuskan Kabinet, tidak ada penarikan balik, tidak ada pemberhentian atau sebagainya,” kata beliau kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya di sini hari ini.
Nancy berkata demikian bagi mengulas kenyataan pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen bahawa perubahan portfolio beliau menjejaskan urusan penurunan kuasa kepada Sarawak.
Nancy juga menolak sebarang andaian bahawa dengan perubahan portfolio beliau baru-baru ini, kerajaan persekutuan cuba mengetepikan rakyat Sarawak.
“Marilah kita bergerak ke hadapan kerana ia juga sesuatu yang baik bagi Sarawak. Marilah kita terus mara untuk melakukan sesuatu yang boleh kita gunakan, manfaatkan dan sudah ada dalam minda saya apa yang ingin saya lakukan, terutama berkaitan inovasi sosial.
“Saya berpendapat, inovasi sosial adalah sesuatu yang perlu kita lakukan. Saya harap saya dapat memulakan sesuatu mengenai Sarawak juga,” katanya.
