Bersalin dalam air perlu ada garis panduan

Bersalin dalam air perlu ada garis panduan

Bakal ibu yang menghidap penyakit tidak digalakkan menggunakan kaedah ini.

bersalindalam air

PETALING JAYA:
Kaedah bersalin dalam air ada kebaikan dan keburukannya dan ia boleh digunakan dengan syarat diwujudkan garis panduan pelaksanaannya, kata Konsultan Obstetrik dan Ginekologi (O&G) Hospital Columbia Setapak Dr Sharmina Kamal.

Beliau berkata bakal ibu yang menghidap penyakit tidak digalakkan menggunakan kaedah ini bagi mengurangkan sebarang risiko kejadian tidak diingini berlaku.

“Bergantung kepada cara mereka lakukan. Kaedah ini ada kebaikan dan keburukan. Garis panduan amat penting.

“Kaedah bersalin cara ini juga menyukarkan doktor memantau keadaan bayi memandangkan si ibu berada dalam tub,” katanya kepada FMT.

Pada minggu ini, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr S Jeyaindran mengumumkan Kementerian Kesihatan kini melarang kaedah melahirkan bayi dalam air dilakukan di mana-mana hospital swasta.

Dr Sharmina berkata doktor berpengalaman amat diperlukan ketika menyambut kelahiran bayi menggunakan kaedah ini dan air dalam tab perlu dijamin bebas kuman.

“Kita mahu pastikan anak dan ibu berada dalam keadaan selamat. Kaedah ini mungkin mengurangkan sakit pada ibu tetapi perlu diingat, hanya ibu yang sihat dibenarkan menggunakan kaedah ini.

“Jika di negara barat, bakal ibu bersalin kebiasaannya menggunakan tab di rumah yang mana peratusan kebersihan lebih terjamin.

“Jika dilakukan di hospital, kita tidak tahu sejauh mana tahap kebersihan tub berkenaan kerana mungkin digunakan beberapa kali sebelum ini,” katanya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.