Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Datuk Razaruddin Hussain berkata, Chung Chun Wah ditembak mati berhampiran Pasar Air Itam kira-kira jam 7 malam tadi.
“Penjenayah berjaya ditumpaskan di pekan Air Itam,” katanya.
Semua jalan menuju ke pasar itu ditutup kepada semua kenderaan yang menyebabkan kesesakan lalu lintas sejauh 5km di sekitar pekan Air Itam.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar turut memuji pasukan polis atas kejayaan itu.
“Syabas STAFFOC @PDRMsia tumpaskan penjenayah selepas bbalas tembak di Air Itam Pg tadi. Spek disyaki tlibat kes bunuh 4 sekeluarga,” tulisnya dalam Twitter beliau.
Semalam, suspek itu memasuki kilang pemprosesan ayam di Jalan Batu Maung, Bayan Lepas kira-kira jam 2.55 pagi sebelum menembak mati ibunya, Tan Saw Sim, 50; teman lelaki ibunya berusia 50 tahun, Toh Hock Choon; adiknya berusia 28 tahun, Chung Wah Thong dan anak saudaranya yang berusia 2 tahun.
Adik, ibu dan teman lelaki ibunya terkena satu tembakan dari jarak dekat, manakala anak saudara mangsa pula terkena dua tembakan masing-masing di kepala dan leher.