Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Ghafar Rajab berkata, lelaki berusia 32 tahun yang diburu polis itu “bersenjata dan amat berbahaya”.
Jelasnya, suspek keluar dari Pulau Pinang selepas meninggalkan kenderaan teman lelaki ibunya di Bukit Mertajam semalam.
“Laporan risikan mendedahkan lelaki itu sudah meninggalkan sempadan negeri, kami tidak boleh kata ke mana dia pergi, tetapi sudah tentu meninggalkan Pulau Pinang.
“Saya merayu bantuan orang ramai yang ternampaknya supaya segera melaporkan lokasi suspek kepada polis,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang hari ini.
Ditanya kemungkinan suspek melarikan diri ke negara jiran, Ghafar berkata: “Dia tentu berada dalam negara ini, tanpa wang mana dia hendak pergi?”
Semalam, suspek berusia 32 tahun itu menembak mati ibunya berusia 55 tahun, Tan Saw Sim; teman lelaki ibunya berusia 50 tahun, Toh Hock Choon; adiknya berusia 28 tahun, Chung Wah Tong dan anak saudaranya yang berusia 2 tahun.
Menurut Ghafar, adik, ibu dan teman lelaki ibunya terkena satu tembakan dari jarak dekat, manakala anak saudara mangsa pula terkena dua tembakan masing-masing di kepala dan leher.
“Kami rasa dia mungkin didorong masalah keluarga yang berlarutan dan penyalahgunaan dadah,” tambahnya.
Sementara itu, pekerja warga asing di kilang pemprosesan ayam di Jalan Batu Maung itu “melarikan diri” semalaman kerana bimbang suspek akan kembali ke tempat kejadian.
Difahamkan, lebih 30 pekerja asing yang tinggal dalam kawasan kilang itu sebelum ini tidak berani bermalam di kilang berkenaan semalam.
Seorang pekerja asing yang dipetik China Press hari ini berkata, mereka takut untuk balik ke kilang itu, sebaliknya bermalam di rumah kawan di kawasan berdekatan.
Tinjauan di kilang pemprosesan ayam terbabit pagi tadi mendapati ia tidak beroperasi dan hanya beberapa pekerja asing menjalankan kerja-kerja pembersihan.
Kilang itu ditutup selepas kerja-kerja pembersihan itu selesai kira-kira jam 10 pagi tadi.