Namun ia bukanlah kerana sekatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), sebaliknya atas tindakan pemilik laman web itu sendiri.
Carian FMT mendapati laman alfatihin.com sama ada mengalami masalah pelayan (server), dipindahkan ke pelayan lain atau menggunakan alamat protokol Internet (IP) berbeza.
FMT juga setakat ini tidak dapat menemui laman web baharu Al-Fatihin, jika ada.
Pada masa sama, laman Facebook baru ‘Al-Fatihin’ (@alfatihinmedia03) yang diwujudkan dua hari lalu juga sudah tidak dapat dicari melalui ruangan carian laman sosial itu.
Ia berlaku selepas media mula membangkitkan isu ini pada 11 Julai lalu dan mendapat perhatian pihak berkuasa.
Pada 12 Julai lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak memaklumkan kementerian sedang menyekat akses semua laman web dan media sosial berkaitan Al-Fatihin.
Surat berita tersebut merupakan susulan kepada video berbahasa Melayu pemimpin IS bagi menyebarkan propaganda dan meraih sokongan masyarakat di rantau ini.
FMT masih cuba mendapatkan kenyataan SKMM berhubung perkara ini.