
Semua empat pemain kelab Johor Darul Takzim (JDT) itu membuat pengumuman dengan cara yang sama iaitu menerusi siaran kenyataan di laman Facebook rasmi kelab berkenaan, Johor Southern Tigers.
Pengumuman Kunanlan, 29, disiarkan pada kira-kira jam 8.30 pagi tadi sementara kenyataan Amirul disiarkan, empat jam selepas itu.
Kunanlan dalam kenyataan itu berkata perlawanan persahabatan menentang Fiji baru-baru ini ialah penampilan terakhirnya untuk aksi perlawanan antarabangsa.
“Saya cukup berbangga dapat menyarung jersi kebangsaan sejak mewakili pasukan Bawah 23 tahun dan sehingga kini. Terima kasih diucapkan atas segala sokongan yang diberikan selama ini dan juga tunjuk ajar yang diberikan. Saya amat menghargainya,” katanya.
Sementara itu, Amirul dalam kenyataannya mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dan menyokongnya terutama jurulatih pasukan kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee.
“Cukup sampai di sini saja yang mampu saya berikan kepada skuad kebangsaan. Keputusan ini membolehkan saya memberi peluang kepada pemain muda untuk meneruskan misi skuad kebangsaan,” katanya.
Persaraan empat pemain senior pasukan kebangsaan itu dikatakan berkait dengan tindakan kritikan pemilik JDT Tunku Ismail Sultan Ibrahim terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan di Facebook Johor Southern Tigers pada Isnin lalu, Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor memberi komen mengenai perlawanan pasukan kebangsaan di Oceania.
Ketika itu, Harimau Malaysia seri 1-1 dengan pasukan di ranking ke-186 dunia, Fiji pada perlawanan persahabatan terakhir Jelajah Oceania di Stadium Prince Charles Park di Nadi, Fiji.
Tunku Ismail berang dengan kecederaan lima pemain JDT selepas pulang daripada beraksi dengan skuad kebangsaan di Fiji.
Menurutnya, kecederaan itu bukan disebabkan terlebih latihan sebaliknya akibat kekurangan latihan sewaktu di kem pasukan kebangsaan.
“Laporan yang saya terima daripada pemain dan jurulatih kecergasan pasukan kami, sepanjang 30 hari pemain bersama skuad kebangsaan, hanya 11-12 hari mereka menjalani sesi latihan,” katanya.
Sementara itu, Kim Swee dalam satu kenyataan FAM berkata beliau menghormati keputusan dibuat Safiq dan Aidil.
“Dua tunggak pasukan JDT itu pasti sudah memikirkan tentang bersara untuk tempoh lama sebelum membuat keputusan itu.
“Pada saya, ia kerugian besar. Kita perlu hormat keputusan mereka,” katanya.
Katanya, pintu sentiasa terbuka untuk mereka kembali pada pasukan kebangsaan, tetapi perlu dinilai semula berdasarkan kepada pencapaian liga masing-masing.
Pautan berita: Safiq, Aidil Zafuan bersara daripada Harimau Malaysia