4 pemain tinggalkan skuad negara kerana diabai FAM – TMJ

4 pemain tinggalkan skuad negara kerana diabai FAM – TMJ

FAM didakwa tidak mengendahkan kebajikan pemain, termasuk apabila mereka mengalami kecederaan serta tidak mengambil tindakan terhadap kelab dan pasukan yang tidak membayar gaji pemain.

PETALING JAYA:
Punca empat pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) meninggalkan skuad kebangsaan kerana Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) didakwa mengabaikan pemain sejak sekian lama.

Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendakwa, FAM tidak mengendahkan kebajikan pemain, termasuk apabila mereka mengalami kecederaan serta tidak mengambil tindakan terhadap kelab dan pasukan yang tidak membayar gaji pemain.

“Adalah mudah untuk mengkritik tetapi anda perlu meletakkan diri anda di tempat mereka untuk memahami keputusan mereka,” katanya menerusi catatan terbaru dalam Facebook JDT, The Southern Tigers hari ini.

Beliau berkata, pelbagai cara dilakukan pemain negara termasuk menyuarakan masalah mereka kepada jurulatih dan pegawai FAM, namun persatuan itu didakwa terus mengabaikan masalah dan kebajikan pemain.

“FAM lakukan apa yang biasa mereka lakukan iaitu mengabaikan mereka. Sama seperti bagaimana mereka mengabaikan kelab dan penyokong bola sepak di seluruh negara selama 30 tahun.

“Oleh itu nasihat saya kepada anda adalah, anda perlu ada berdiri bersama pemain, kelab dan organisasi dan permintaan perubahan dalam FAM. Sama ada mereka suka atau tidak, satu hari nanti mereka perlu berubah,” katanya yang mendedahkan ramai pemain negara mahu meninggalkan Harimau Malaysia tetapi mereka terlalu takut dengan pengurusan pasukan masing-masing.

Pada masa sama, Tunku Ismail berikrar akan terus berusaha untuk membunuh amalan rasuah dalam FAM kerana Malaysia memerlukan “orang bola sepak” dan jurulatih profesional, bukannya ahli perniagaan.

Pemain sayap, S Kunanlan dan Mohd Amirulhadi Zainal hari ini mengumumkan persaraan mereka daripada skuad kebangsaan, dua hari selepas kapten Harimau Malaysia, Safiq Rahim dan pemain pertahanan, Aidil Zafuan Abdul Radzak mengumumkan bersara daripada pasukan negara dengan alasan mahu memberi peluang kepada pemain muda.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.