Zuraida cabar lapor SPRM bukti terima rasuah beli 9 kereta mewah

Zuraida cabar lapor SPRM bukti terima rasuah beli 9 kereta mewah

Zuraida mengaku mempunyai tujuh kenderaan dan sebuah motosikal yang didaftarkan di bawah namanya, namun hanya sebuah daripada kenderaan itu digunakannya sendiri.

zuraida-sprm

PETALING JAYA:
Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin mencabar pihak yang mendakwa beliau menerima suapan untuk membeli sembilan kenderaan mewah supaya membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau yang dipetik Nanyang Siang Pau bersedia membuktikan dirinya tidak bersalah melalui saluran sah.

Menurutnya, sebelum menyertai politik, beliau memegang jawatan penting dalam bidang korporat dan ketika itu sudah memiliki kereta Toyota serta Honda yang bukannya kenderaan mewah.

“Berdasarkan kemampuan kewangan saya sebelum ini dan suami saya yang merupakan seorang peniaga, anak-anak juga sudah bekerja, saya tidak perlu merasuah dan terima suapan untuk membeli barangan mewah,” katanya kepada akhbar berbahasa Cina itu hari ini.

Ahli Parlimen Ampang itu bagaimanapun mengaku mempunyai tujuh kenderaan dan sebuah motosikal yang didaftarkan di bawah namanya, namun hanya sebuah daripada kenderaan itu digunakannya sendiri.

Jelasnya, tiga kenderaan lain digunakan ahli keluarganya dan baki tiga lagi untuk kegunaan parti yang masing-masing dibiayai individu atau pihak yang menggunakannya.

“Kenderaan yang kononnya mewah itu sebahagian besarnya adalah kereta jenama Jepun, termasuk sebuah van dan trak pikap,” katanya.

Tambahnya, setiap ahli Parlimen juga mempunyai permit import kereta (AP) dan pinjaman kenderaan sebanyak RM100,000 yang dimanfaatkan beliau untuk membeli kereta bagi kegunaan ahli keluarganya.

Bekas pemimpin PKR, Badrul Hisham Shaharin yang lebih dikenali sebagai Chegubard mendesak Zuraida memberi penjelasan kerana menyifatkan jumlah kenderaan yang dimiliki wakil rakyat itu agak luar biasa.

Bagaimanapun, Zuraida sekadar mendiamkan diri selama beberapa hari selepas pendedahan itu dibuat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.