Makin ramai belia Malaysia terpedaya umpan skim forex

Makin ramai belia Malaysia terpedaya umpan skim forex

Kebanyakan mangsa, berumur antara 20 hingga 30 tahun, akhirnya terpaksa menanggung hutang akibat ketamakan sendiri, kata Datuk Seri Michael Chong.

forex

PETALING JAYA:
Dengar sini, dengar sini! Ada cara mudah buat banyak wang. Labur RM1 dapat RM1,000 serta-merta.

Tagline ini biasa digunakan syarikat perkhidmatan forex tidak berlesen bagi mengumpan mereka yang berusia antara 20 hingga 30-an untuk melaburkan wang hasil titik peluh mereka.

Pakar berkata kebanyakan golongan muda ini dikaburi rasa tamak atau keinginan mahu mendapatkan wang yang banyak dalam masa cepat.

Mereka tidak kisah mengambil risiko melabur di syarikat forex luar pesisir pantai, dengan antaranya berada di Bahamas, Rusia atau Bermuda, asalkan mereka dapat pulangan yang cepat.

Sesetengah golongan muda memujuk ibu bapa mereka untuk mengeluarkan wang Kumpulan Simpanan Wang Pekerja atau simpanan peribadi.

Apabila duit mereka sendiri habis, mereka meminjam pula daripada lintah darat (Ah Long) kerana terdesak dalam cubaan mendapatkan semula wang yang sudah pun hilang.

Ketua Analisis Pasaran Winvest Global, Ives Ooi berkata modus operandi kegiatan itu mudah saja.

“Syarikat ini mengiklankannya di online secara terbuka. Sindiket ini membuat spekulasi mengenai masa depan pasaran, berkata akan ada wang keesokan harinya.

“Sebaik saja seseorang itu dapat diyakinkan adanya pulangan tinggi, sindiket berkenaan akan minta individu terbabit membayar yuran pendaftaran dan mencari orang lain,” katanya kepada FMT.

Katanya, sesetengah syarikat itu beroperasi dalam perniagaan ala MLM dan menjana pendapatan daripada yuran pendaftaran dan merekrut mangsa serta pelaburan forex.

Mereka juga diminta menghadiri seminar atau “webinars”, kononnya untuk memberikan gambaran kepada bakal pelabur bagaimana forex berfungsi dan “teknik rahsia menjana wang”.

“Kebanyakan daripada mereka sangat yakin skim itu akan memberikan wang besar dan melabur dengan jumlah banyak selepas melihat keuntungan awal,” katanya kepada FMT.

Ketua Biro Pengaduan Awam MCA Datuk Seri Michael Chong berkata pihaknya menerima banyak aduan berhubung pelaburan itu daripada ibu bapa dan mangsa sendiri.

“Ketika mereka datang kepada saya, sudah tidak ada apa-apa yang boleh dilakukan. Kebanyakan syarikat itu berdaftar di luar negara dan kita tidak dapat ambil tindakan undang-undang terhadap mereka, yang kebanyakannya berada di Bahamas, Rusia dan Bermuda.”

Michael berkata kebanyakan yang datang mendapatkan bantuannya dalam kes seperti ini berusia antara 20 hingga 30-an.

Katanya, mangsa biasanya diyakinkan oleh saudara atau rakan rapat masing-masing untuk berdaftar dengan syarikat pesisir pantai, dijanjikan wang yang cepat dan mudah.

“Saya sudah lihat banyak perhubungan yang retak kerana urus niaga forex. Putus saudara dan rakan menjadi musuh selepas wang simpanan mereka lesap.”

Katanya, kebanyakan mangsa menggunakan wang KWSP ibu bapa atau simpanan lain.

Beliau berkata beberapa mangsa yang ditemu bual mengakui mereka menyertai pelaburan perkhidmatan forex kerana tamak.

“Mereka menyertainya, melihat untung besar. Tamak dan mereka labur lagi. Bila mereka rugi, mereka tanggung hutang.

“Mereka jumpa Ah Long untuk pinjam duit lagi cuba dapatkan semula wang yang hilang. Mereka jadi seperti burung dalam sangkar. Seorang mangsa berumur 20-an beritahu saya, hutangnya kini jadi RM250,000.”

Michael berkata sesetengah syarikat forex ini ada pejabat mewah di Kuala Lumpur dan apabila sudah cukup duit diperoleh, mereka akan tutup perniagaan dan melesap.

Katanya, memang ada syarikat forex yang beroperasi secara sah diselia bank dan ramai pelabur mendapat keuntungan.

“Ada banyak bank tempatan yang menyediakan maklumat, tetapi kebanyakan rakyat Malaysia tidak buat pemeriksaan. Mereka tidak kaji sama ada syarikat ini sah dan ada reputasi atau tidak.”

Katanya, pelabur diminta mendapatkan khidmat nasihat bank atau Bank Negara di Financial Consumer Alert.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.