Ayob Khan terima panggilan telefon dari anggota IS

Ayob Khan terima panggilan telefon dari anggota IS

Ayob berkata beliau tidak gusar dengan ugutan yang diterimanya dan akan meneruskan usaha membanteras aktiviti keganasan.

phone-call-isis

KUALA LUMPUR:
Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, polis kanan Bukit Aman yang lantang melawan kegiatan keganasan, dilaporkan menerima panggilan telefon berbentuk ugutan daripada anggota kumpulan IS warga Malaysia, Muhamad Wanndy Mohamad Jedi.

The Star melaporkan Ayob, yang baru dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis dan akan menjawat Ketua Penolong Pengarah Counter Terrorism, Cawangan
Khas (E8) Ogos nanti, merupakan antara pegawai kanan polis yang menerima ugutan langsung dari IS.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dilaporkan turut menerima ugutan IS.

“Mereka menganggap kami menyokong thagut (musuh Allah) dan mahu menyerang kami dahulu sebelum menyerang bukan Islam di negara ini,” kata Ayob dipetik The Star hari ini.

Wanndy, yang menggunakan nama Abu Hamzah Al-Fateh di Facebook, berasal dari Durian Tunggal, Melaka, dan pernah muncul dalam rakaman video di mana seorang rakyat Syria disembelih di kem tahanan Raqqa, Syria kerana didakwa menjadi pengintip rejim tentera Presiden Bashar al Assad.

Ayob bagaimanapun berkata beliau tidak gusar dengan ugutan yang diterimanya dan akan meneruskan usaha membanteras aktiviti keganasan.

“Ia akan diteruskan tanpa ketakutan terhadap mana-mana pihak yang ada kaitan dengan kumpulan pengganas,” katanya.

Menurut Ayob, seramai 213 orang termasuk 27 warga asing ditahan bagi menyiasat kaitan mereka dengan kumpulan pengganas.

Semalam, polis mengumumkan Ayob antara enam pegawai kanan yang dilantik jawatan baharu berkuat kuasa 11 Ogos ini.

Selain Ayob, Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk A. Thaiveegan dilantik sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Dr Mustafa Khan Abdul Samat dilantik sebagai Ketua Pusat Pengajian Sains Pengurusan, Maktab PDRM Kuala Lumpur, dan Ketua JSJK Terengganu Koh Ah Tiam dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah JSJK Bukit Aman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.